'Pemandu 4x4 mabuk rupanya...'

Loading...

Susulan kes langgar lari sehingga menyebabkan seorang wanita maut di Taman Equine, Seri Kembangan, Serdang, semalam, polis telah berjaya menahan suspek pada jam 1.43 pagi tadi, lapor Harian Metro.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, suspek yang berasal dari Sarawak telah ditahan selepas majikannya menyerahkan suspek kepada polis. 

"Kenderaan itu adalah milik majikan suspek. Kami kesan pemilik sebelum dia menyerahkan suspek kepada pihak polis. 

"Hasil ujian awal saringan air kencing dilakukan terhadap suspek didapati negatif dadah. Bagaimanapun, suspek dipercayai mabuk ketika kejadian dan sampel darah suspek diambil bagi ujian alkohol," katanya. 

Semakan mendapati, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah. Ketika disoal siasat, suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu. 

Difahamkan, permohonan reman terhadap suspek telah dibuat pagi tadi di Mahkamah Petaling Jaya. 

Dalam kejadian jam 8.08 malam semalam, seorang wanita maut, empat cedera parah selepas dilanggar kenderaan pacuan empat roda yang dipandu oleh suspek, ketika semua mangsa sedang makan di restoran di tempat kejadian. 

Selepas kejadian itu, suspek melarikan diri dan meninggalkan kereta itu di Taman Universiti Indah, Seri Kembangan, jam 11 malam. 

BERITA BERKAITAN: