Pengasuh pukul dan cubit bayi berusia 2 bulan

Loading...

Bayi lelaki berusia dua bulan lebam di muka dan luka di bahagian tepi mulut dipercayai dipukul dan dicubit oleh pengasuh yang baru diamanahkan untuk menjaganya dalam tempoh dua hari. 

Ibu saudara mangsa, Isha, 23, berkata, mangsa dihantar ibunya ke rumah pengasuh berusia 20-an itu yang dikenali melalui Facebook sejak 22 Oktober lalu, di Taman Equine, Serdang, pada jam 7 pagi hingga 7 malam dengan bayaran lebih RM300 sebulan. 

Bagaimanapun pada hari kedua ketika mangsa diambil ibunya, ia kelihatan lemah. Tetapi pengasuh berkata bayi berkenaan mengantuk. 

"Pada hari kedua (23 Oktober lalu), saya memaklumkan kepada kakak untuk mengambil anak saudara lebih awal. Namun dia memberitahu pengasuh minta masa untuk siapkan anak saudara sebelum saya menjemputnya di rumah pengasuh terbabit pada 4 petang.

"Sebaik sampai, saya lihat anak saudara sudah diletakkan dalam ‘car seat’ dengan mukanya dipenuhi bedak dan kelihatan lemah. Pengasuh itu memberitahu anak saudara mengantuk menyebabkan dia kelihatan lemah," katanya.

Sebaik saja mereka tiba di rumah, si ibu menyedari terdapat kesan-kesan lebam di pipi dan luka di tepi mulut anaknya. 





"Saya dan kakak (ibu bayi) perasan terdapat pita pelekat berwarna hitam pada puting bayi berkenaan. Apabila perkara itu ditanyakan kepada pengasuh terbabit, dia kata puting itu rosak dan menyebabkan mulut kanak-kanak berkenaan luka.


"Malah, dia menafikan terdapat lebam sepanjang menjaga anak saudara. Kami (bersama kakak) kemudian membawa anak saudara ke Hospital Putrajaya sebelum doktor mengesahkan lebam itu dipercayai kesan pukul dan cubitan kuat," katanya.

Ekoran itu, ibu mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, berdasarkan laporan dari pihak Hospital Putrajaya. 

Difahamkan. pengasuh terbabit tidak dapat dihubungi sehingga kini, malah pihak polis memaklumkan pengasuh itu tiada di rumah ketika mereka datang. 

Keadaan mangsa dilaporkan semakin baik, tetapi ibunya terpaksa bercuti untuk menjaga anaknya sementara mencari pengasuh baru.

Sumber: Harian Metro