Potongan 2% (RM40) sebaik saja gaji peminjam PTPTN cecah RM2,000

Loading...

Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan dipotong gaji sebaik saja gaji mereka mencecah RM2,000 sebulan, demikian keputusan Kabinet pada mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 November lalu. 

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, Kabinet memutuskan potongan gaji ke atas peminjam PTPTN pada kadar dua peratus atau RM40 sebaik saja gaji mereka mencecah RM2,000. 

"Potongan akan meningkat secara progresif sehingga 15 peratus mengikut jumlah gaji peminjam," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini yang menjawab soalan Wong Kah Woh (PH DAP-Ipoh Timur) mengenai pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN untuk pelajar separuh masa yang mendapat keputusan kelas pertama.

Ketika pembentangan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mengumumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan potongan gaji berjadual antara dua hingga 15 peratus kepada peminjam yang berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan. 

Bagaimanapun, pengumuman itu mendapat bantahan ramai terutamanya persatuan yang mewakili penuntut universiti yang mendesak agar syarat itu dikaji semula. 

Nie Ching berkata, seramai 53,113 peminjam diluluskan pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN kerana memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama.

Daripada jumlah itu katanya, seramai 37,355 adalah penuntut universiti awam (UA) dan 15,758 orang daripada institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS).

“Kita belum bercadang memanjangkan pengecualian itu kepada peminjam yang mengikut kursus secara separuh masa,” katanya.

Beliau menjelaskan jumlah kutipan bayaran balik PTPTN diterima bermula Jun hingga September lalu adalah sebanyak RM817.75 juta.

Mengenai janji manifesto bayaran balik sehingga gaji graduan mencapai RM4,000, Nie Ching berkata, kerajaan akan menimbangkan semula perkara itu apabila kedudukan kewangan negara mengizinkan.

Menjawab soalan tambahan Kah Woh sama ada pengecualian diberikan kepada pelajar daripada keluarga M40, beliau berkata, ia akan diperluaskan kepada pelajar cemerlang kelompok M40 sama ada penuntut UA atau IPTS.

Sumber: Harian Metro