'Saya menyesal, mustahil untuk saya bayar denda RM100,000' - luah pesalah sebar filem Munafik 2 di FB

Loading...

"Saya yang bernama Muhammad Izwan Shah ingin memohon maaf kepada pihak Skop Productions terutamanya kepada Dato' Yusof Haslam dan anak beliau, Syamsul Yusof kerana saya telah menyusahkan Dato' dalam beberapa bulan ini. 

"Dan juga ingin memohon maaf kepada P.A Dato' dan adik perempuan Dato' sendiri kerana telah mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan mereka," demikian tulis Muhammad Izwan selepas didapati bersalah dan dijatuhkan hukumna denda RM100,000 oleh mahkamah kerana menyebarkan filem Munafik 2 tanpa keizinan di media sosial. 

Menurut Izwan, dia berasa sangat menyesal dengan kesalahannya dan bertambah tersentak apabila mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM100,000. Namun dia bersyukur tidak dikenakan hukuman penjara. 

"Saya amat menyesal dengan kesalahan yang telah saya lakukan. Tindakan mahkamah mengeluarkan perintah supaya membayar RM100,000 sebagai ganti rugi kepada pihak Skop Productions betul-betul membuatkan saya tersentak. 

"Tetap saya sangat-sangat bersyukur kerana tidak dikenakan hukuman penjara. Sekurang-kurangnya saya masih berkesempatan untuk menjaga kedua-dua ibu bapa saya yang kian meningkat usia. 

"Saya tidak kisah saya tidak ada kereta, tidak ada rumah sendiri, walau tiada jodoh sekalipun (tak berkahwin). Yang penting saya masih diberi peluang untuk menjaga ibu bapa saya biarpun sepanjang hayat saya bekerja keras semata-mata untuk membayar ganti rugi kepada pihak Skop Productions," katanya. 

Mengulas mengenai jumlah denda itu, Izwan berkata adalah mustahil untuk dia mendapatkan wang sebanyak itu tetapi dia berjanji akan membayarnya walaupun sedikit demi sedikit kepada pihak Skop Productions. 

Dalam masa yang sama, Izwan menganggap apa yang berlaku itu adalah pengajaran buat dirinya agar tidak lagi memuat naik sebarang bahan milik pihak lain di media sosial. 

"Nilai RM100,000 itu teramatlah besar bagi orang biasa seperti saya. Mustahil untuk saya mendapatkan jumlah tersebut walau saya hidup 100 tahun sekalipun. Tetapi saya berjanji akan bayar juga walaupun sikit-sikit kepada pihak Skop Productions. 

"Inilah pengajaran untuk saya yang Allah turunkan dan saya berharap sangat perkara ini boleh menjadi pengajaran kepada orang lain. Mana-mana individu di luar sana yang berhasrat atau sedang giat melakukan aktiviti seperti ini yang jelas melanggar hakcipta, tolonglah hentikan kerana negara kita ada undang-undang. 

"Jangan anggap benda ini mudah dan ringan kerana saya pun berfikiran begitu juga pada mulanya. Tetapi tengoklah kesan dan implikasinya terhadap saya sekarang. 

"Saya menyesal dan tidak akan mengulangi perkara seperti ini lagi. Saya akui saya banyak share link movie sebab ia telah menjadi hobi saya untuk share sesuatu dan rupanya hobi ini telah memudaratkan diri say sendiri," katanya. 

Dalam kenyataan yang dimuat naik Izwan itu turut memohon maaf kepada ibu bapanya kerana telah menyusahkan mereka. 

BERITA BERKAITAN: