'Susah dan penat naik office awak di tingkat 1' - Terkedu client bila tengok fizikal pemilik pejabat ini

Loading...

Orang selalu berkata, jangan ingat kesusahan kita saja tetapi ada orang lain di luar sana yang lebih susah daripada kita. Kata-kata itu diungkapkan agar kita sentiasa bersyukur dan bersikap positif dalam menerima situasi atau dugaan yang menimpa kita. 

Namun manusia bukanlah sempurna, adakalanya terlupa dan teremosi. Akhirnya merungut dengan perkara-perkara kecil dan remeh. Namun, berbaloikah kita merungut? Adakah merungut itu boleh membawa kepada keuntungan? Manfaatkan kata-kata motivasi dari Encik Mohd Sukur Ibrahim ini,

ADA client datang pejabat, sampai saja di pejabat saya di muka pintu, dia merungut sambil termengah-mengah dan cakap, "Susahlah office awak ni tingkat 1, penat nak naik," katanya sambil buat muka tak best dan berjalan ke arah meja saya. 

Kecil hati saya bila dia cakap office saya susah. Pejabat inilah antara tempat rezeki saya bertandang. Saya hulur tangan nak salam dengan senyuman. Terus dia terdiam dan senyum, terus mulakan perbincangan dengan muka serba salah. 

Mungkin dia dah nampak orang depan dia OKU, pemilik pejabat tingkat 1 yang haruslah hari-hari turun naik pejabat ini. Dia pula manusia yang lengkap kaki tangan, yang baru sekali naik pejabat ini.

Banyak benda saya nak rungutkan dalam hidup saya. Kaki saya yang pendek, nak jalan sikit pun penat, jalan jauh sikit kaki dah melecet siap berdarah. Kalaulah boleh saya tunjuk betapa banyak kesan melecet di kaki saya selama 34 tahun saya hidup.

Tapi saya tak nampak faedahnya. Merungut tapi tetap kena berjalan, kan? Jadi tak payah merungut. Kan merungut hanya membazirkan tenaga. Gunakan tenaga itu untuk menjana sesuatu yang lebih bermanfaat.

Kalaulah saya tak habis-habis merungut dan pilih untuk tak suka berjalan. Agak-agak saya sampai ke ke Japan, Hong Kong, Paris, Amsterdam, Brussel, London, Manchester, Manila, Jakarta, Chiangmai, Bangkok, Saigon dan banyak lagi. Paling best dalam hidup, dapat tunaikan umrah di Mekah dan Madinah.

Tak ada niat nak berlagak. Saya tak layak pun untuk berlagak. Saya OKU kan? Apa yang nak dilagakkannya?

Saya cuma nak bagitau semua orang, sikit perubahan positif dalam diri kita mampu ubah masa depan kita. Cuba kurangkan merungut hari demi hari. Lebih banyak perkara bahagia akan datang.

SALAM KEBAHAGIAAN