'Tak ada niat nak curi, nak ambil pengalaman naik motor besar' - Pencuri

Loading...

"Saya nak minta maaf sebab dah curi motor abang. Saya tak ada niat nak curi, tapi saya nak ambil pengalaman naik motor besar. Saya betul-betul minta maaf," demikian nota yang ditulis penjenayah kepada pemilik motosikal berkuasa tinggi selepas melarikan motosikal jenis Yamaha R6 di pangsapuri Flora Damansara, semalam. 

Menurut pemiliknya, Mohd Khairul Anuar Mohd Jamil, 32, berkata, nota itu dipercayai diselitkan penjenayah yang datang semula ke kawasan Flora Damansara sekitar malam tadi selepas dia memviralkan kes kehilangan motosikalnya itu di media sosial sejak semalam.

"Nota itu diselitkan di bahagian cermin kereta saya yang pecah dan di bahagian belakangnya tertulis motosikal saya berada di kawasan letak motosikal di kawasan kondominium Empira Damansara. 

"Mulanya saya ingat ada orang mahu mempermainkan saya. Tetapi apabila saya pergi ke lokasi itu pagi tadi, memang ada motosikal saya berada di situ dan saya terus memaklumkan kepada polis," katanya kepada Harian Metro



Difahamkan, Mohd Khairul hanya menyedari motosikalnya hilang jam 8 pagi semalam ketika dia ingin pergi ke tempat kerja. Selain itu, cermin kereta mangsa turut dipecahkan oleh suspek sama yang melarikan beberapa barangan berharga seperti cermin mata dna pengimbas Smart Tag. 

Mohd Khairul mengesyaki suspek terjumpa kunci pendua motosikal di dalam kereta, lalu mengambil kesempatan melarikan motosikal itu. 

Walau bagaimanapun, Mohd Khairul bersyukur apabila dia mendapat semula motosikalnya yang dibeli kerana minatnya pada motosikal berkuasa tinggi sejak dari kecil lagi. 

"Saya sayang motosikal itu dan membelinya disebabkan minat motosikal berkuasa tinggi sejak kecil lagi. Jadi, bila ia hilang, saya rasa sedih sebab motosikal itu bukan saya gunakan untuk berlumba, sebaliknya lebih kepada minat," katanya.


Mohd Khairul juga memaafkan perbuatan penjenayah itu, namun menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan undang-undang. 

"Saya sudah maafkan penjenayah itu, namun perbuatan itu adalah satu kesalahan jenayah dan harap polis dapat menahannya untuk tindakan undang-undang. Lagipun, saya tidak mahu orang lain menjadi mangsa penjenayah sama yang melakukan jenayah pecah kenderaan," katanya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada mangsa, pagi semalam. Katanya, motosikal yang dilaporkan hilang juga sudah ditemui dan polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti suspek berkenaan.