Tidak berhenti di persimpangan, bayi 11 bulan dan wanita maut tercampak keluar dari kereta

Loading...

Bayi perempuan berusia 11 bulan dan wanita berusia 24  tahun maut, manakala empat lagi cedera dalam kemalangan yang membabitkan tiga buah kenderaan di Simpang Empat Ulu Sedaka, Yan, semalam, lapor Harian Metro

Mangsa, Dhiaannasha Mohamad Shaiful, 11 bulan merupakan penumpang Honda Stream dan Nurizzatunhusna Mohd Aminudin Bakri, 24, merupakan penumpang kereta Proton Persona. 

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar berkata, kemalangan itu berlaku apabila kereta Proton Persona yang dinaiki Nurizzatunhusna bersama ibu bapanya yang datang dari arah Guar Chempedak menghala ke Pulau Bunting dilanggar kereta Honda Stream dari arah Ulu Sedaka yang dipercayai tidak berhenti di persimpangan berkenaan. 

Kemalangan itu menyebabkan Proton Persona terbabit berpusing, manakala kereta Honda Stream terbalik sehingga memasuki laluan yang dilalui oleh kereta lain jenis Volkswagen Vento datang dari arah Selengkoh. 







Akibat dari kejadian itu, Nurizzatunhusna dipercayai tercampak keluar dari tempat duduk penumpang hadapan dan maut serta-merta di tempat kejadian. 

Pemandu dan penumpang kedua-dua buah kereta cedera parah dan pemandu Volkswagen Vento tidak mengalami kecederaan. 

"Mayat Nurizzatunhusna dan Dhiaannasha dibawa ke Hospital Yan untuk bedah siasat manakala mangsa yang parah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk menerima rawatan lanjut," katanya.

Siasatan masih dilakukan sementara menunggu semua mangsa yang cedera stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian.