Toreh lengan rakan serumah kerana berang ditegur tak jaga kebersihan dapur

Loading...

Seorang wanita cedera di lengan kiri akibat ditoreh dengan pisau oleh rakan serumahnya selepas menegur wanita itu agar menjaga kebersihan dapur umah sewa mereka. 

Dalam kejadian pada jam 8.18 malam 29 Oktober lalu di rumah sewa Wisma Yien Tien Jalan Batik Bukit, Kuala Terengganu, suspek yang merupakan pekerja salun, Christina Foo Yen Nie, 22, dari Kemaman, dilaporkan turut mengacukan pisau ke leher mangsa, Nurbati, 43, sebelum menoreh lengan kiri mangsa sehingga cedera. 

Suspek bertindak demikian kerana berang dengan mangsa yang menegurnya supaya menjaga kebersihan dapur dan tidak meninggalkan sisa makanan. 

Susulan kejadian itu, suspek ditahan polis dan dibicarakan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu. 

Christina bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengugut dan mencederakan mangsa menggunakan pisau, dan memohon untuk dibicarakan. 

Christina didakwa mengikut Sekysen 506 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 324 KK kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Selain itu, tertuduh turut didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan sebilah pisau pemotong kertas terhadap mangsa di alamat, waktu dan hari sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 22 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dusntan Muda manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber: Harian Metro