(Video) Bapa pakai kostum T-Rex, jemput anak balik dari tadika buat netizen tersentuh

Loading...

Seorang bapa dari Shanghai bukan sahaja menjadi bualan di media sosial, malah dipuji netizen selepas video yang menunjukkan dirinya memakai kostum dinosaur, T-Rex, untuk menjemput anak perempuannya pulang dari tadika. 

Lapor Daily Mail, video itu dirakam pada bulan Oktober lalu dan mendapat banyak perkongsian di media sosial China. 

Awal video menunjukkan si bapa berjalan ke tadika bersama dengan ibu bapa lain yang mahu menjemput anak mereka pulang. 

Ada segelintir ibu bapa terkejut melihat kehadiran dinosaur itu. 

Si bapa kemudian masuk ke dalam dan menghampiri anak perempuannya yang sedang beratur menunggu giliran untuk pulang. Berbeza dengan murid-murid lain, kanak-kanak itu langsung tidak takut, malah menyambut kedatangan dinosaur itu dengan ceria dan ketawa. 

Selepas menyedari dinosaur itu adalah bapanya, dia terus mengangkat tangannya mahu membelai dinosaur itu membuatkan semua yang berada di situ ketawa dan tersentuh melihat adegan yang sangat comel itu. 


Menurut ibu kanak-kanak berkenaan, kejutan itu dibuat sebagai ganjaran kepada anak mereka yang berkelakuan baik di sekolah. Sebelum ini, anak mereka ada mengatakan dia berhadap satu hari nanti dinosaur akan menjemputnya pulang dari tadika. 

"Dia berjaya menunaikan janji yang dia akan berkelakuan baik di sekolah. Jadi kami pula mahu menunaikan harapannya itu lalu kami mencari dan membeli kostum dinosaur di internet untuk membuat kejutan ini," kata ibunya. 

Sumber: Next Shark