'Alhamdulillah jika benar Aidil mahu bertemu anak-anak' - Namun Rita kesal ada pihak yang tak senang duduk cuba melagakan mereka

Loading...

Tiga hari lalu, pelakon Rita Rudaini memuat naik gambar anaknya memakai jersey terakhir peninggalan bapa, Mohamad Aidil Zafuan Radzak, membuatkan netizen berasa sebak dan kasihan dengan dua anak mereka yang merindui bapa mereka. 

Susulan posting itu, Aidil melalui rakaman live Instagram isterinya, Zarema Zainal, semalam menyatakan kesediaannya untuk bertemu dengan dua anaknya itu, Airit Rayyan Rizqin, 9 dan Airit Qaqa Arjuna, 7, pada bila-bila masa. 

"Insya Allah, saya akan jumpa dia," katanya menjawab pertanyaan peminat. 
Rita Rudaini yang dihubungi Harian Metro menyambut baik hasrat bekas suaminya itu dan berharap pertemuan itu boleh mengubati rindu dua orang anaknya terhadap bapa mereka. 

"Alhamdulillah, jika benar dia mahu bertemu anak-anak. Selama ini saya tunggu saja dia datang berjumpa Rayyan dan Arjuna. Sebagai ibu, saya tak pernah ada niat nak halang dia. 

"Sebulan sebelum dia berkahwin, dia ada berjumpa anak-anak. Ketika itu saya pesan, jangan putuskan hubungan dengan anak-anak walaupun sudah ada keluarga baru. 

"Kalau pun tak boleh berjumpa, telefonlah setiap hari agar anak sentiasa ingat bapa mereka. Tiga bulan pertama selepas berkahwin, dia ada hubungi anak-anak. Ketika itu saya sangat gembira. Namun selepas itu dia terus diam hingga sekarang. 

"Saya tahu anak-anak nak sangat bertemu dengan Daddy mereka. Selalu mereka bertanya bila boleh jumpa. Sampai saya tak tahu nak jawab macam mana. Sekali dua boleh pujuk, kalau dah banyak kali saya tunjuk wajah ayah mereka di kaca TV. Walaupun hanya menonton di TV, sedikit sebanyak dapatlah ubat rindu anak-anak," katanya. 

Walau bagaimanapun, dalam posting terkini Rita di Instagram mengatakan, ada manusia yang tidak senang dengan perkara itu. 
"Ada manusia yang tidak senang dan goyang kalau kami berbaik. Walaupun demi anak-anak. Gigih la cuba nak lagakan kami. Anak-anak kami jadi mangsa. Keji dan jijik. 

"Aidil dan Rita ni jangan bagi dekat, jangan bagi baik. Kenapa eh? Adakah kalau kami dekat dan berbaik, kami jadi seperti lagu Stacy 'bergabung meletop'?. 

"Rancanglah macam manapun, buatlah macam mana pun, biarpun beribu tahun, sistur okey saja sebab sisturr percaya satu hari nanti Tuhan akan bisikkan hanya yang Benar pada Daddy Ryanjuna," tulisnya.