'Alhamdulillah Toby dah kembali ke pangkuan, tiada caj melampau dikenakan oleh MCM'

Loading...

"Hentikan kecaman anda di dalam page Meyaw Cat Mart," demikian kata pemilik kucing yang dilaporan hilang sejak Oktober lalu. 

Difahamkan, kucing bernama Toby itu telah diserahkan kembali kepada Mieza Sharip, selepas kedua-dua pihak mengadakan pertemuan dan perbincangan secara bersemuka. 

Terdahulu, kes berkenaan viral di media sosial susulan caj kos penjagaan yang dikenakan oleh pihak Meyaw Cat Mart (MCM) dianggap sebagai tidak masuk akal. Meskipun ramai yang mempertikaikan caj yang dikenakan itu, pihak MCM meminta orang ramai memahami bahawa mereka telah memberikan penjagaan yang baik kepada Toby. 

Bagaimanapun, kes itu telah diselesaikan dengan cara baik dan kini Mieza berharap semua pihak bertenang dan berhenti menyerang laman Facebook MCM. 

"Assalamualakikum kepada tuan puan yang setia menanti pengakhiran kisah saya dengan Toby a.k.a Arron. Saya amat beruntung kerana Toby dijaga dengan sebaik baiknya oleh insan yang berhati mulia. Saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran akhirnya perbincangan dari pihak abang saya, Muhd A'izuddin dan tuan kedai Meyaw Cat Mart *MCM telah mencapai kata sepakat. Saya memuji sikap pet shop berkenaan dalam keadaan beliau dikecam teruk, beliau masih bersabar. 

"Saya memohon kepada pencinta kucing yang benar-benar mahukan kedamaian menghentikan kecaman di dalam page beliau. Toby telah selamat sampai ke rumah saya tanpa sebarang kecederaan, malah lagi sihat berbanding gambar yang pertama kali Toby dijumpai. 

"Pihak pet shop MCM sangat memahami perasaan saya sehingga sanggup untuk berbincang kembali tentang harga yang telah ditetapkan sebelum ini. Alhamdulillah, syukur di hari Jumaat yang penuh barokah ini, saya telah bertemu semula dengan kucing kesayangan saya yang telah hilang selama 42 hari. 

"Diharap anda semua menghentikan kecaman dan hinaan demi menjaga silaturrahim di antara umat islam. Saya tiada masalah dengan pihak MCM. 

"Saya juga dengan rasa rendah diri memohon maaf kepadap ihak MCM kerana telah menyebabkan hal ini menjadi tidak terkawal. Demi Allah, saya tidak berniat untuk menjatuhkan perniagaan beliau kerana saya juga adalah salah seorang yang membeli makanan dan susu di kedai beliau sebelum ini.

"Diharapkan kepada semua pihak mengambil iktibar dari kecuaian saya dan saya masih diberi kesempatan untuk berjumpa kembali dengan Toby. Terima kasih semua yang tidak henti-henti memberi sokongan moral, pandangan, hujahan serta kritikan dari segi pihak saya atau MCM. Terima kasih tuan MCM, tindakan tuan sangat saya sanjungi," katanya. 

Sementara itu, Muhd A'izuddin memuji sikap pemilik kedai, Sazrul Zakri yang memberikan kerjasama yang baik, malah menafikan dikenakan caj melampau. Sebaliknya caj yang dikenakan adalah berpatutan. 

"Tiada caj yang melampau dikenakan pada saya. Bagi saya ianya cukup berpatutan dan sememangnya atas sebab hak yang sepatutnya. 

"Jelas di wajah beliau bahawa beliau seorang yang sangat menyayangi kucing. 

"Jutaan terima kasih juga kepada beliau dan kakitangannya kerana menjaga kucing adik saya dengan baik sekali. Semoga Allah membalas segala jasa baik beliau yang sanggup mengutip kucing in dan menjaganya dengan baik tanpa mengetahui siapa tuan empunya," katanya.

BERITA BERKAITAN: