'Anak menangis, satu badan kejang, mata pandang ke atas' - Bayi 4 bulan alami pendarahan dalam otak selepas diambil dari pengasuh

Loading...

Seorang bayi perempuan berusia empat bulan dilaporkan mengalami pendarahan di bahagian kiri otaknya selepas diambil dari pengasuhnya. 

Menurut Lulu Amanda, ibu kepada Nur Aaira Humairah, berkata, anaknya menangis dan satu badannya kejang dengan mata pandang ke atas seperti terkena sawan sebaik saja diambil dari rumah pengasuh. 

"Mohon semua yang membaca post saya ini, doakan anak saya Nur Aaira Humairah bt Mohd Rajab yang mengalami pendarahan otak di sebelah kiri, diberi kesembuhan semula seperti sediakala.


"Jam enam petang semalam, ambil anak dari pengasuh. Bila dibawa balik ke rumah, anak menangis lain macam dan satu badannya kejang, mata pandang ke atas seperti terkena sawan," katanya. 

Bimbang melihat keadaan anaknya itu, Lulu segera membawa anaknya ke Hospital Putrajaya dan anaknya dikejarkan ke zon kritikal. 

"Tanpa berfikir panjang, saya terus bawa anak ke Jabatan Kecemasan. Kemudian jururawat kejarkan dia ke zon kritikal. Allahuakbar, tak terkata waktu itu. Hanya mampu berdoa untuk amanah Allah ini. 

"Soalan demi soalan ditanya, dengan tanda-tanda yang ada pada Aaira. Buat CT Scan, bimbang ada pendarahan katanya dan keputusan CT Scan, memang sah ada pendarahan di dalam otak belah kiri. Allahuakbar, Allahuakbar. 




"Doktor pakar mata pula memaklumkan, terdapat pendarahan di mata sebelah kiri.

"Baby Aaira dalam keadaan separa sedar sebab diberi ubat tidur. Doktor pakar Neurology HKL minta baby dipantau di Hospital Putrajaya. Sekiranya terdapat simptom-simptom yang semakin teruk, Aaira akan dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). 

"HB Aaira semakin menurun, kalau semakin menurun mungkin Aaira akan dipindahkan ke HKL. 

"Tak ada apa yang saya minta, hanya doa yang baik-baik untuk anak saya ini. Semoga Allah saja yang dapat membalas segala kebaikan kamu semua. Terima kasih," katanya.

Menurut sumber terdekat, laporan polis telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan.