'Anak takut lihat wajah saya' - Muka melecur terkena air panas steamer ketika menggunakan khidmat mobile spa

Loading...

Hajat mendapatkan perkhidmatan mobile spa menjadi tragedi apabila wajah wanita itu melecur teruk akibat terkena tumpahan air panas steamer. 

Dalam kejadian Ahad lalu, mangsa melecur di bahagian wajah dan lehernya akibat kejadian yang sepatutnya boleh dielakkan sekiranya kakitangan spa berkenaan mengambil maklum kebimbangan mangsa mengenai steamer yang terlalu dekat dengannya. 

Menurut mangsa, Inazalina, berkata, kejadian itu berlaku pada 9 Disember lalu di mana sebelum ini rakannya yang baru menyertai mobile spa beberapa bulan lalu kerap menyarankan dia mencuba perkhidmatan itu beberapa kali. 

Segan menolak saranan rakannya itu, Inazalina bersetuju bagi menunjukkan sokongan terhadap perniagaan rakannya.

"Sebenarnya saya sudah rasa ada sesuatu yang tidak kena apabila dia memasang steamer itu berhampiran dengan saya. Beberapa saat selepas itu, steamer yang penuh dengan air mendidih itu terjatuh terkena mata, muka dan leher saya. Betapa peritnya kepedihan itu yang saya sendiri tidak dapat gambarkan bagaimana," ujarnya dalam status di Facebook. 

Inazalina berkata, dia tidak marah pada ketika itu dan terus menghubungi dan meminta suami membawanya ke hospital. 

Pihak hospital pada awalnya enggan menerima kes itu dan mahu merujuknya ke hospital kerajaan. Tetapi mujur ada doktor pakar bedah dan mata sanggup menerima kesnya. Mangsa kemudian terus dibawa ke dewan bedah untk menjalani pembedahan pertama. 

"Saya rasa terkejut sangat semalam. Tak terbayang ia boleh menjadi seteruk ini. Penjelasan dari doktor juga membuatkan saya menangis sepanjang hari. Macam mana saya nak berhadapan dengan orang selepas ini? Macam mana saya nak pergi kerja di mana kerja saya memerlukan saya berhadapan dengan orang setiap hari. 

"Sukar untuk saya menerima keadaan ini. Tetapi bila difikirkan semula, Allah masih sayangkan saya. Kedua belah mata saya tidak terjejas walaupun air panas itu terkena pada mata. Saya bernasib baik kerana ada lagi yang menerima kesannya lebih teruk daripada saya. 

"Apa yang saya perlukan lakukan selepas ini? Doktor pakar bedah kata saya akan diberi cuti sakit sekurang-kurangnya sebulan. Kulit saya tidak boleh terkena cahaya mata hari. Mungkin dalam tempoh setengah tahun untuk pulih tetapi dengan kesan parut kekal. 

"Saya betul-betul rasa sedih. Anak kedua takut melihat wajah saya, malah tidak mahu dekat dengan saya. Tak pernah melihat dia berkelakuan seperti itu sedangkan dialah yang selalu mahu memeluk saya. Tetapi hari ini, dia takut melihat wajah saya, apatah lagi mahu mendekati saya," katanya yang meminta orang ramai mendoakan agar dia kembali pulih dan tabah menghadapi dugaan ini. 

Dalam status itu, Inazalina mengatakan dia langsung tidak memarahi kakitangan mobile spa yang terlibat, kerana itu bukan kejadian yang dipinta oleh sesiapa. Tetapi dia kesal kakitangan berkenaan tidak mengikutinya ke hospital dan tidak datang menemuinya selepas kejadian itu. 

"Awak tak rasa bersalah di atas apa yang berlaku? Saya terpaksa menghadapi semua ini. Awak kata awak tak boleh buat apa-apa, awak tak ada duit. Saya ada pilihan ke? Saya masih perlu mencari duit untuk membayar bil hospital dan segala ubat-ubatan lain. Saya tak fikir awak mengambil peduli tentang saya," katanya. 


Rakan mangsa, Nur Narquiyah Halil, yang turut berkongsikan kejadian itu di Facebooknya berkata, kakitangan terbabit hanya muncul selepas tiga hari kemudian dan memberi vitamin c Shaklee sebagai 'pampasan'. 

Nur Narquiyah turut berkongsi screenshot perbualan WhatsApp yang mendakwa pengasas peniagaan itu enggan bertanggungjawab di atas kejadian itu dan menjelaskan apa yang berlaku itu adalah kemalangan. 



Sementara itu, pengasasnya, Ainul Shahrazad, tampil memberikan penjelasan terhadap dakwaan tersebut. 

"Jika ada sebarang kemalangan yang berlaku adalah disebabkan kecuaian spa itu, bagaimana mungkin nak tuduh TWB yang salah? kita hanya ajar skills. 

"Nak salahkan saya sebagai pengasas projek ini, terpulanglah. Cuma nak beritahu yang saya ini bukan pengasas produk yang jutawan kaya rayake. Saya pengasas produk ciput saja," katanya. 

Enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu tetapi Ainul meminta netizen tidak melempar sebarang komen negatif kerana tidak tahu cerita sepenuhnya, selain banyak dipengaruhi emosi dari fakta. 

Ainul juga tidak menolak kemungkin ada pihak yang sememangnya sudah menunggu untuk 'menyerangnya' bagi menjatuhkan dia. 

"Hati-hati bila memberikan komen, viralkan sesuatu yang tidak benar, menyerang individu secara personal etc. Ini dah dikira jenayah siber dan boleh dikenakan tindakan undang-undang. Peguam saya dah nasihatkan saya untuk tindakan. Kita tengok macam mana," katanya.