'Dia OKU tiada satu buah pinggang, pakai pampers, menitik air mata aku' - Cantik kan percaturan Allah, rezeki bertemu dengan peniaga yang baik ini

Loading...

Alangkah cantiknya percaturan Allah menemukan peniaga ini dengan seorang lelaki OKU yang memerlukan pekerjaan. Meskipun telah dianiaya oleh empat pekerjanya sebelum ini, perkara itu tidak membantutkan usahanya mencari pekerja yang jujur, amanah dan bertanggungjawab dalam pekerjaan. 

Nia Jaya, menganggap ini semua adalah perancangan Allah yang menemukan dan menggerakkan hatinya untuk menerima pemuda OKU ini bekerja dengannya. Pada awalnya, dia sendiri buntu dan tidak tahu bagaimana mahu membantu anak muda ini sehingga mendapat idea untuk menjalankan perniagaan aiskrim goyang di pasar malam. 

SELEPAS aku tarik balik kes polis terhadap empat pekerja aku, aku pun cuti dari berniaga di pasar malam. Tak ada pekerja, nak berniaga macam mana? Cuti-cutilah dulu. Tetapi job di Singapura sentiasa ada, kedai secondhand tetap berjalan. Alhamdulillah. 

Sedang aku mencari dan mencari pekerja, ditakdirkanNya aku dapat seorang pekerja istimewa. Aku pun tak tahu kenapa dan mengapa hati ini tergerak untuk menerima dia bekerja. Walhal dia Orang Kurang Upaya (OKU), tiada kaki kiri, tiada satu buah pinggang, pakai pampers, tiada ibu dan bapa, tiada tempat berteduh. 



Bekerja di pasar malam ini memerlukan pergerakan, kena pantas dan cepat. Aku terima dia, Allah gerakkan hati dia untuk bertemu dengan aku. Allah yang gerakkan hati aku untuk terima dia. Aku anggap ini kerja Allah. 

Malam itu dia datang berjumpa dengan aku. Allah, menitik air mata aku. Muka aku ganas tapi hati aku mudah tersentuh.

Adoi, kerja apa yang aku nak bagi dia ini eh? Ini pengalaman baru buat aku. Mati akal juga. Niat nak tolong tapi aku tak tahu nak bagi kerja apa. Aku pun post dalam group Facebook, niat di hati aku nak dia buat Aiskrim Malaysia. Aku nak cari pembeli. Macam-macam idea yang mereka beri. 



Tetapi dalam banyak-banyak idea, ada satu yang aku rasa logik, munasabah dan macam sesuai dengan dirinya. AKu pun belilah mesin aiskrim goyang. Mujur ada yang secondhand. Alhamdulillah. 

Hari ini hari kedua dia membuat aiskrim goyang. Biarlah dia bergoyang di situ, asalkan dia ada kerja, biar dia bekerja. Itu lebih baik dari dia meminta ikhsan orang. 



Alhamdulillah sekarang team baru pasar malam aku dah ada lima pekerja. Seorang anak yatim paitu, seorang OKU yatim piatu, seorang ibu tunggal, seorang lagi dah tak minat bersekolah dan seorang lagi pelajar maktab. 

Harap-harap ini kalilah. Aku dah penat nak cari pekerja yang jujur, amanah dan bertanggungjawab susah nak jumpa. Dapat yang sipi-sipi pun jadilah. 


Selepas aku post dalam group Facebook, datang pula Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kulai ke tempat rumah pekerja aku. Tak pernah-pernah rumah pekerja aku ada pelawat. Inilah rezeki buat dia. Kerja dapat, bantuan dari JKM pun dia dapat. Cantik kan percaturan Allah?

Ini rezeki dia yang tak disangka-sangka. Saya cuma bagi 'jalan' sahaja. Selebihnya saya serah kepada Allah. 

Moral of the story, bersyukurlah kita kerana Allah bagi kita sifat yang cukup. Orang macam ini ada kelebihan tersendiri yang kita tak tahu. 

Sumber: Nia Jaya