Disangka babi, lengan warga emas berlubang ditembak dengan shotgun

Loading...

Disangka babi, seorang lelaki warga emas parah di lengan kanan akibat ditembak rakannya. 

Dalam kejadian jam 10.30 pagi semalam di kebun durian di Kampung Sedengka Ayer Mati, Padang Changkat, Bota Kanan, Bota, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, pemilik kebun mengupah mangsa, Ramli Mat Jesam, 60, dan seorang lagi rakan untuk membersihkan semak di kebun. 

Ketika berada di kebun, pemilik yang meninjau kebunnya terdengar bunyi bising, lalu mengambil senapang patah dari kereta sebelum berjalan mengelilingi kebunnya. 

"Ketika berjalan keliling kebun, pengadu ternampak pokok pisang bergoyang kuat dan menjerit "Woi!" dua kali untuk menghalau binatang yang disangkakan babi, tetapi tidak menjawab.

"Pemilik kebun kemudian melepaskan satu das tembakan ke arah pokok pisang itu," katanya. 

Mangsa yang terkena tembakan menjerit meminta tolong sebelum pemilik kebun dan seorang lagi rakan mereka bergegas ke pokok pisang itu dan mendapati mangsa yang terkena tembakan berkenaan. 

Mangsa yang berdarah cedera di bahagian lengan kanan, terus dikejarkan ke Hospital Changkat Melintang untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum pemilik itu hadir ke balai polis untuk membuat laporan. 

Menurut Mohamad Zainal, pemilik kebun itu mendakwa melepaskan tembakan kerana menyangka benda yang bergerak itu adalah babi berikutan tiada maklum balas yang diterima ketika dia menjerit untuk menghalaunya. 

"Pengadu mendakwa tidak menyangka rakannya yang berada di bahagian belakang kebun itu kerana ketika dia meninggalkan mereka, dua rakannya itu sedang membersihkan kawasan di hadapan kebun. 

"Ketika kejadian berlaku, hanya mereka bertiga sahaja yang berada di tempat kejadian dan siasatan di tempat kejadian menjumpai satu kelongsong peluru penabur," katanya. 

Sementara itu, doktor memaklumkan pergelangan tangan kanan dan jari mangsa tidak boleh bergerak selain terdapat banyak lubang besar dan kecil pada lengan kanan mangsa. 

Ekoran kejadian itu, polis merampas selaras senapang patah jenis shotgun 12 bore, 45 butir peluru penabur warna hijau pelbagai jenama, satu kelongsong peluru penabur, buku lesen memiliki senjata dan peluru serta sekeping kad senjata api. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 dan pemilik kebun itu dibebaskan dengan jaminan polis berikutan faktor usianya yang sudah lanjut. 

Sumber: Harian Metro