Lari dari sekatan jalan, anggota polis parah dirempuh penunggang motosikal

Loading...

Enggan diperiksa anggota polis dalam sekatan jalan, seorang penunggang motosikal sanggup melarikan diri dan menunggang secara berbahaya sehingga merempuh anggota polis. 

Dalam kejadian jam 11.30 malam Ahad, operasi sekatan jalan raya (Ops Lejang) di Jambatan Pok Nik Lah, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Lans Koperal Md Faizal Md Bkar, 30-an dari IPD Kota Bharu, cedera parah di bahagian kepala. 

Penunggang motosikal berusia 27 tahun itu juga cedera di kepala dan patah jari telunjuk kanan. 

Ketua Polis Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, suspek sebelum itu datang dari arah Binjai ke Pengkalan Chepa, cuba mengelak daripada diperiksa. 

Suspek cuba melarikan diri dengan membuat pusingan U dan menunggang dalam keadaan laju. Dalam masa yang sama, mangsa mengarahkan suspek memberhentikan motosikalnya sebelum dirempuh. 

"Akibatnya, mangsa terjatuh dan cedera di kepala. Manakala suspek cedera di kepala dan patah jari telunjuk tangan kini," katanya. 

Mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, manakala suspek dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan. 

Pemeriksaan lanjut terhadap suspek menemui dua biji pil dipercayai dadah jenis erimin 5 dalam poket seluar. Suspek ditahan untuk siasatan kerana mencederakan polis dan memiliki dadah.

Sumber: Harian Metro