Mati dipukul kerana curi pisang

Loading...

Seorang lelaki berumur dalam lingkungan 40-an ditemui mati dalam keadaan tertiarap di bahagian belakang sebuah rumah di Kampung Tebakang di Marang, Terengganu pada pukul 4.30 petang tadi dengan dua tandan pisang berdekatan kepalanya.

Gambar lelaki itu dengan kepalanya berdarah tular di laman sosial Facebook, dan maklumat dari WhatsApp yang ditularkan mendakwa lelaki itu dipukul sehingga mati kerana mencuri pisang orang kampung.

Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Suhaimi Ali ketika ditemui berkata polis sudah mengenalpasti suspek dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Mayat dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk bedah siasat,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di Marang, malam ini. - Bernama