Pengerusi JK Selamatkan Kuil Mariamman gesa polis heret pelaku ke muka pengadilan

Loading...

Seperti pihak yang lain, Pengerusi Jawatankuasa Khas Selamatkan Kuil Mariamman Seafield, Sw Ramaji menyatakan rasa sedihnya di atas pemergian anggota bomba Muhammad Adib Kassim yang menjadi mangsa rusuhan di tempat kejadian itu November lalu. 

"Kami sangat hiba dan pilu dengan berita anggota bomba yang meninggal dunia akibat kecederaan semasa menjalankan tugas di Seafield. Kami menggesa pihak berkuasa menjalankan penyiasatan dan membawa semua yang bertanggungjawab ke muka pengadilan. 

"Pihak berkuasa bukan sahaja harus menangkap pelaku tetapi juga orang yang berada di belakang pelaku. 

"Mereka mesti dihukum kerana tindakan ganas mereka bukan sahaja menyebabkan kematian seorang penjawat awam tetapi juga menjejaskan perjuangan kami untuk mengekalkan kuil Seafiled di lokasi sekarang. 

"Keganasan bukanlah jalan penyelesaian untuk sebarang masalah dan orang-orang yang terlibat atas alasan apa pun perlu disiasat dan dihukum dengan sewajarnya," katanya. 

Semalam, Adib dilaporkan meninggal dunia pada jam 9.41 malam tadi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, selepas bertarung nyawa selama hampir tiga minggu.

Dalam kejadian November lalu, Adib yang duduk di bahagian penumpang hadapan unit EMRS dikatakan ditarik keluar oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul yang menyebabkan beberapa tulang rangkanya patah selain mengalami kecederaan dalaman. 

Sumber: MalaysiaKini