'Sakitnya tangan kena cengkam, rupanya contraction isteri dah mula' - Inilah pentingnya kehadiran suami di dewan bersalin

Loading...

APA sebenarnya yang berlaku di dalam dewan bersalin dan peranan suami.

"Suami kepada Cik Nora Azni, sila daftar dan masuk labour room".

Ayat yang dah 3 hari saya tunggu akhirnya kedengaran. Ini kali ketiga dalam hidup, saya akan menghadapi situasi ini. Kononnya sudah biasa, dalam hati membayangkan nak tenang-tenang je masuk labour room.

Tapi, baru sampai kat pengawal yang jaga dewan bersalin, saya dah terkial-kial nak isi buku pelawat. Tiba-tiba jadi tak reti nak isi ruangan nama, nombor kad pengenalan dan lain-lain. Pengawal itu pun dah pandang semacam je.

Masuk pintu pertama, saya disambut dengan almari baju putih ala-ala baju doktor. Hampir terlupa bab kena pakai baju nie. Baju disarung dengan peluh sejuk yang mula keluar di dahi. 

"Ko nie dah kenape? Kawal diri tu sikit", kata saya kepada diri sendiri. 

Entah kenapa masa ni ada 2 karakter pulak. Haha.. Baju putih yang ketat di ketiak terus saya sarung sambil menuju ke labour room.

Setelah mendapat kebenaran jururawat, saya masuk dan disambut dengan senyuman si isteri. Belum sakit lagi barangkali. Mesti dia lega saya ada.

"Terima kasih abang sebab sentiasa ada dengan sayang", kata isteriku sambil tersenyum manis. 

Tiga kali dah saya di sini. Tiga kali juga isteri saya bakal merasakan kesakitan yang amat sangat. Rasa bersalah ada, rasa kesian pun ada. Tangan dia sentiasa saya usap. Dia meminta kebenaran untuk tanggalkan tudung. Tadi nampak jugak 2 orang doktor pelatih lelaki. Awal-awal masuk tadi kami dah pesan dengan nurse yang kami nak doktor perempuan sahaja. 

"Boleh, jangan bimbang" katanya.

Kami ditemani dengan bunyi degupan jantung baby dari salah satu alat di dalam dewan bersalin ni. Alhamdulillah aktif bunyinya. Mungkin baby pun tengah bersedia untuk keluar.


"Puan nak makan ubat tahan sakit tak?", soal seorang nurse yang baru sahaja masuk. 

Kami pun macam terpinga-pinga sebab bersalin sebelum ni memang tak pernah ada orang tawarkan ubat tahan sakit. Rupanya disebabkan jantung baby okey dan bukaan baru 4 cm. Dia tawarkan ubat tu sebab kemungkinan lama lagi tunggu dan nanti bila dah mula sakit, tak boleh dah ambil ubat tu.

Sambil berbual-bual, saya urut-urut badan dan usap kepala isteri untuk beri dia selesa. Sedar-sedar dia dah tidur. Ubat dah berkesan la tu.

Aduhhhh.. Sakitnya tangan kena cengkam. Rupanya "contraction" isteri dah mula. Saya pun mula rekod masa dan jarak masa bila ianya terjadi. Makin lama makin kerap. Makin lama makin panjang. Makin lama nampak makin sakit.

Masa inilah. Memang masa inilah. Kalau tidak datang keinsafan dalam diri, memang hati tu dah mati. Di depan saya, orang yang paling saya cintai sedang mengalami kesakitan yang amat sangat tanpa saya boleh buat apa-apa pun. Sakitnya sehingga air mata dia mengalir. Bila "contraction" itu berhenti, baru dia lega. Besar sungguh pengorbanan isteri. Fikir saya dalam hati.

Alat sedut gas tu dah macam takde kesan. Kesakitan dah terlalu kuat. Saya panggilkan nurse untuk periksa. Masuk seorang doktor pelatih perempuan untuk periksa laluan. Baru 5 cm katanya. Tapi gayanya macam nak bersalin dah. Lepas doktor pelatih tu keluar, kebetulan ada nurse lain masuk. Saya pujuk nurse tu supaya periksa balik.

"Eh, dah boleh dah ni. 8 cm dah tapi kalau pandai teran boleh je, anak ketiga dah kan?".

Datang seorang lagi nurse. Tapi tiba-tiba masuk dua orang doktor pelatih lelaki tadi. Saya terus mintak maaf dan maklumkan yang kami nak perempuan sahaja. Mereka berdua pun faham dan meninggalkan kami berempat dalam tu.

Selepas itu saya dan isteri terus fokus. Sebelum ini kami dah rancang strategi teran yang berkesan. Ini semua hasil daripada apa yang kami lalui semasa anak pertama dan kedua. Antara strategi kami :-
  1. Jangan angkat punggung. Nanti akan terkoyak.
  2. Jangan teran selagi tak dibenarkan nurse. Buang masa dan tenaga.
  3. Jangan teran sikit-sikit. Rugi sebab baby akan masuk balik dan keluar sikit je.
  4. Teran dengan kuat dan panjang. Biar kurang bilangan teran tapi sepenuh tenaga dan lama - lama. Ini bakal bagi baby keluar dengan cepat dan tanpa sangkut-sangkut.
  5. Jangan benarkan nurse buat episiotomi (potong untuk bukaan lebih luas). Saya kena main peranan tegah nurse kalau dia nak potong. Sebab kami yakin kami boleh buat.
  6. Set masa bila nak buat "final push". Masa ni ialah masa untuk teran habis-habisan. Saya akan bagitau dia masanya dah sampai bila kepala baby dah keluar.
Dan seperti yang dirancang, situasi yang sama berlaku. Tapi kali ni nurse dah pegang gunting dan nak potong. Saya tanya "nak potong apa? Jangan!". Rupanya nurse cakap nak potong tali pusat sebab takut terbelit. Sebab masa kepala dah nak keluar tu, tali pusat dekat sangat dengan kepala baby.

Bila potong je, terus kepala baby senang nak keluar. Saya pun bagitau kat isteri yang inilah masanya. Dia tarik nafas dalam-dalam dan bersama dengan saya, kami sama-sama keluar suara untuk meneran sepanjang yang boleh.

Nurse pada masa itu sentiasa bagi dorongan positif seperti bagus, pandai dan sikit lagi. Saya pulak berada dekat dengan muka isteri. Hanya dia dan saya je dalam dunia kami sendiri, dia tak dengar dah nurse cakap ke atau bunyi lain. Dia teran, saya pun teran. Ini nampak macam takde apa-apa, tapi sebenarnya amat membantu isteri.

Alhamdulillah, dengan hanya 3 kali teran, Daisy Medina dilahirkan. Saya terus peluk isteri saya dan ucapkan terima kasih dan I love you berkali-kali. Ini juga kali pertama saya tak boleh control tangisan saya. Habis basah pipi dia dengan air mata saya. Syukur sangat segalanya selesai dengan selamat.

Cuma kali ni lepas bersalin, isteri muntah-muntah. Bila ditanya, rupanya ianya kesan dari ubat tahan sakit.


Setelah beberapa ketika menemani dan mengelap muntah isteri dan keadaan sudah tenang, saya diminta tunggu di wad. Perjalanan dari labour room sehingga ke tempat menunggu bagaikan sedang berjalan di dalam taman warna warni. Berbunga-bunga hati saya. Saya rasa masa tu juga kalau diukur, kedalaman lesung pipit adalah yang paling dalam dalam sejarah hidup saya. Hehehe..

Jadi, kesimpulannya di sini. Betapa pentingnya kehadiran suami di dewan bersalin.
  1. Jangan biarkan isteri anda hadapi saat bersalin bersendirian. Isteri perlukan orang yang paling disayangi di sisi.
  2. Wajib jadi penenang kepada isteri. Waktu itu fikiran isteri tidak menentu.
  3. Bantu mana yang patut, urut tempat yang lenguh kerana berjam - jam menunggu.
  4. Bantu isteri berkomunikasi dengan nurse. Masa tu isteri tengah sakit, suami yang ada kat situ boleh tolong jawab dan tanya info mengenai keadaan isteri dan baby masa tu.
  5. Suami wajib jagakan aurat isteri. Bertegas jika perlu. Berlembut jika terpaksa.
  6. Ucapan terima kasih dan penghargaan yang spontan sejurus selepas kelahiran baby adalah amat penting. Isteri baru sahaja melalui satu keadaan yang getir dan amat menyakitkan demi kita. Jangan anggap mudah perkara nie.
Semoga dengan penulisan ini dapat memberi sedikit idea mengenai apa yang berlaku di dalam dewan bersalin. Amat baik buat yang belum pernah atau akan melalui saat seperti ini.

Buat yang tidak mampu untuk berada bersama isteri kerana tidak tahan dengan darah, janganlah bersedih. Ini adalah perkara yang di luar kawalan. Berilah sokongan serapat yang boleh.

Buat suami yang tidak dapat bersama isteri kerana bekerja, bertabahlah. Ini ujian buat suami dan isteri. Diharap dengan penulisan ini juga dapat anda faham betapa sakitnya isteri dan betapa isteri memerlukan suaminya pada saat itu. Cubalah sebaik mungkin untuk berada bersama. Rancanglah sehabis baik. In Shaa Allah akan dipermudahkan segala urusan.

Jika anda rasa penulisan ini bermanfaat, silakan SHARE.

Jemput follow saya 👉 Akhtar Syamir. Saya selalu menulis mengenai kekeluargaan, hubungan suami isteri dan isu semasa.

BroOhsem - 1251 patah perkataan.