Seri 2-2, skuad Harimau Malaya perlukan keajaiban di Hanoi Sabtu ini

Loading...

Selepas mendapat keputusan seri 2-2 dengan Vietnam pada aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi, skuad Harimau Malaya kini memerlukan keajaiban di Hanoi. 

Dalam perlawanan semalam, sorakan lebih 80,000 penyokong Harimau Malaya dilihat tidak menggentarkan skuad Naga Emas yang tenang berdepan dengan asakan demi asakan. 

Vietnam yang menduduki ranking ke-100 dunia dengan mudah menjaringkan dua gol dalam tempoh tiga minit bermula dengan serangan pantas pada minit ke-22, bola hantaran lintang Phan Van Duc berjaya disempurnakan oleh Nguyen Huy Hung untuk menjaringkan gol pertama. 

Skuad Harimau Malaya kemudian dikejutkan pula dengan jaringan Pham Duc Huy menerusi rembatan dari luar kotak penalti. 

Bagaimanapun, Malaysia merapatkan kembali kedudukan menerusi tandukan pertahanan tengah Shahrul Saad yang menyambar bola sepakan percuma dari Syamer Kutty Abba pada minit ke-36. 

Pada minit ke-60, Safawi Rasid berjaya menghasilkan gol menerusi sepakan percuma melencong, yang mengikat kedudukan 2-2 sehingga ke akhir perlawanan. 

Walau bagaimanapun, jurulatih Vietnam, Park Hang Seo, mengakui berpuas hati dengan keputusan perlawanan itu dan menganggap ia sebagai bekalan untuk aksi kedua di Hanoi, Sabtu ini. 

"Pemain beraksi dengan baik dan menunjukkan semangat juang tinggi apabila dapat menjaringkan dua gol.

"Memang saya kecewa dengan dua gol yang dibolosi namun secara keseluruhannya, kami tidak tewas pada perlawanan di tempat lawan. 

"Kini saya perlu mempersiapkan pasukan bagi aksi kedua di tempat sendiri," katanya. 

Sumber: Harian Metro