Wanita melecur 40% dibakar 2 lelaki yang didakwa mencabulnya

Loading...

Seorang wanita berusia lingkungan 20-an melecur 40 peratus selepas dibakar oleh dua lelaki yang didakwa telah mencabulnya, di India, lapor Daily Mail

Dalam kejadian di daerah Sitapur, Uttar Pradesh, mangsa ketika itu berada di padang berhampiran rumahnya didatangi oleh dua lelaki yang juga merupakan jirannya, cuba mengheretnya dengan agresif. 

Menceritakan semula kejadian yang berlaku, abang mangsa, Vinod Kumar berkata, adiknya menggigit tangan suspek dan berjaya melarikan diri sebelum bapanya membuat laporan polis pada hari yang sama. 

Malangnya, tiada sebarang tindakan dari pihak polis dan keluarga mangsa membuat laporan polis kali kedua. 

Pada keesokan harinya, dua suspek datang semula dan menyimbah mangsa dengan minyak tanah sebelum menyalakan api menyebabkan mangsa terbakar 40 peratus dan segera dikejarkan ke hospital. 

Polis daerah Sitapur, Superintendan Prabhakar Chaudhary berkata, dua suspek terbabit telah ditahan dan tiga anggota polis juga digantung tugas kerana tidak menjalankan tugas apabila keluarga mangsa membuat laporan.