Gadis nyaris dirogol selepas tersilap masuk kereta lain yang disangka kereta Grab

Loading...

Seorang wanita berusia 23 tahun nyaris dirogol lelaki warga Pakistan selepas tersilap masuk ke dalam kereta suspek yang disangka pemandu kereta Grab yang ditempah melalui aplikasi Grab. 

Dalam kejadian jam 11 malam Isnin lalu, mangsa tidak memeriksa nombor pendaftaran dan jenis kenderaan Grab yang ditempahnya sebelum terus menaiki kenderaan suspek selepas dimaklumkan oleh pemandu Grab bahawa keretanya sudah sampai. 

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, mangsa sepatutnya menaiki kereta Grab jenis Perodua Bezza, bukannya kereta suspek, Proton Gen 2. 

"Selepas menerima panggilan telefon daripada pemandu Grab yang menyatakan sudah sampai, mangsa terus memasuki kereta suspek yang berada di lokasi itu tanpa memeriksa nombor pendaftaran dan jenis kenderaan itu. 

"Suspek yang menyamar sebagai pemandu Grab terus bergerak, namun disedari mangsa yang duduk di tempat duduk belakang bahawa jalan dilalui tidak menuju ke Larkin. 

"Mangsa mendapati suspek berpusing-pusing di kawasan sama dan bertindak menegur suspek kerana mengikut jalan yang salah, sebelum suspek memberhentikan kereta ketika tiba di tempat kejadian, Jalan Susur 2, Jalan Tun Abdul Razak.

"Suspek kemudian datang ke tempat duduk belakang dan menampar pipi mangsa kerana cuba melarikan diri. Mangsa berjaya keluar dari kereta namun terjatuh ke atas jalan. 

"Suspek kemudian dikatakan membuka separuh seluar mangsa dan mengeluarkan air mani, namun mangsa percaya tiada kemasukan kemaluan suspek ke dalam kemaluannya memandangkan dia tidak merasa sakit," katanya. 

Selepas empat minit, suspek meninggalkan mangsa. Mangsa kemudian menahan sebuah kenderaan dan membuat laporan di Balai Polis Larkin. 

Dalam pemeriksaan badan, tiada kesan kecederaan yang jelas pada tubuh mangsa dan dia dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk pemeriksaan lanjut. 

Bertindak di atas laporan itu, polis telah menahan suspek berusia 31 tahun di tepi Jalan Tun Abdul Razak jam 11 malam Selasa, yang disyaki dalam kes cubaan merogol itu. 

Polis turut merampas kereta Proton Gen 2, sebuah telefon bimbit, sehelai baju T berwarna hitam, sehelai seluar jeans berwarna biru dan serangkai kunci kereta. 

Siasatan awal mendapati, suspek mengaku terbabit dalam kes itu. Suspek direman selama enam hari untuk disiasat mengikut Seksyen 376/511 Kanun Keseksaan.

Sumber: Harian Metro