'Gambar pakai kopiah ini gambar terakhir sebelum dihantar ke pengasuh' - Bayi 7 bulan meninggal dunia akibat pendarahan dalam kepala

Loading...

Luluh hati pasangan suami isteri apabila bayi mereka berusia tujuh bulan meninggal dunia akibat pendarahan dalam kepala ketika dalam jagaan pengasuh di Kampung Setia Jaya, Setapak, Kuala Lumpur, semalam. 

Menurut si ibu, dia hanya mengetahui kejadian itu pada jam 12.15 tengah hari ketika dia pergi ke rumah pengasuh untuk melihat keadaan anaknya sebelum mendapati mangsa tidak sedarkan diri dan tubuhnya pucat selain bawa mata kanan serta hidung mangsa berdarah. 

Si ibu kemudian menghubungi suaminya dan membawa bayi mereka ke sebuah klinik swasta di Taman Melati. Namun doktor mengarahkan mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). 

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia selepas beberapa minit menerima rawatan. 

Menurut bapa mangsa berusia 33 tahun mendakwa, anaknya berada dalam keadaan sihat ketika dihantar ke rumah pengasuhnya pagi semalam. 


Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Noor Azmi Yusoff berkata, bedah siasat yang dilakukan bahagian forensik HKL mendapati, mangsa meninggal dunia kerana kecederaan dan pendarahan dalaman di bahagian kepala yang dipercayai akibat terjatuh. 

"Buat masa ini tiada sebarang tangkapan dan siasatan berhubung punca sebenar kejadian ini sedang dilakukan. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001," katanya.

Menurut ibu saudara mangsa, Shaqifah Abd Razak, kakak iparnya menerima panggilan dari pengasuh yang memaklumkan anaknya, Muhammad Aisy Fawwaz, 7, tak boleh bernafas.  

Apabila pasangan suami isteri itu tiba di rumah pengasuh, mangsa dah betul-betul dalam keadaan lemah dan terkulai ketika didukung serta darah penuh di hidung sehingga menyekat pernafasannya, selain bawah matanya lebam. 

"Abang saya terus bawa Fawwaz ke klinik berdekatan sebab tak sempat nak ke HKL. Doktor cuba selamatkan Fawwaz, tapi Allah lebih sayangkan kamu wahai anak. Doktor cakap nadi Fawwaz dah tak ada. 

"Terus bawa ke HKL, zon merah. Doktor pun sahkan Fawwaz sudah tiada. 

"Doktor scan x-ray semua, banyak pendarahan di kerongkong dan saluran pernafasan, bukan tersedak susu. 


"Fawwaz sekarang sedang bermain di taman syurga. Rehatlah kamu sayang, kamu ihsan terpilih. Mummy Iqa sayang kamu sangat-sangat. Semoga abang dan Kak Wani tabah dengan dugaan ini. 

"Rasa sebak bila kakak ipar cakap, 'Ika, ambillah susu Fawwaz ini bagi Uwais. Dah tak ada siapa boleh minum'.


"Lagi sebak rasa sebab pagi tadi sebelum ke rumah pengasuh, Fawwaz dapat rasa air susu badan uminya buat kali terakhir. Dan semalam kakak ipar kata, dia temankan uminya berjaga siapkan kerja sekolah. 

"Gambar pakai kopiah ini, gambar terakhir abinya snap pagi tadi sebelum uminya bawa ke rumah pengasuh. Masa hantar baby, sihat walafiat.


"Biarlah polis buat siasatan ke atas pengasuh, semoga anak buahku dapat pengadilan di atas kematiannya. Damailah dikau di sana wahai anak. Sebak masa mandikan jenazah tadi. Cium wajah bersihnya buat kali terakhir," tulisnya. 


Jenazah mangsa telah selamat dikebumikan semalam. Semoga keluarga mangsa tabah menghadapi dugaan ini.