Harga menu KFC naik kerana kos pengeluaran meningkat - Menteri KPDNHEP

Loading...

Kos pengeluaran meningkat menjadi punca harga menu di restoran makanan segera, Kentucky Friend Chicken (KFC), dinaikkan, demikian kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution, selepas mengadakan pertemuan dengan syarikat QSR Brands pada Jumaat lalu, lapor Free Malaysia Today

Kenaikan kos pengeluaran berlaku dari satu peringkat pengeluaran kepada peringkat yang lain. Ia juga berpunca daripada syarat yang ditetapkan untuk memegang lesen francais antarabangsa. 

"Jelas mereka, ada beberapa syarat yang perlu mereka penuhi. Misalnya, bahan-bahan yang mereka gunakan. Dalam perjanjian francais, mereka disyaratkan membeli dari pembekal yang telah dinamakan," katanya.

Walaupun ada pilihan pembekal lain yang menawarkan harga yang lebih murah, syarikat ini tidak boleh mengubahnya kerana sudah terikat dengan syarat dan perjanjian yang ditetapkan. 

Bagaimanapun katanya, syarikat itu tetap akan menghantar laporan bertulis kepada pihak kementeriannya dari masa ke semasa.

"Mereka beri kerjasama. Mereka ada tempoh masanya dan akan sampai kepada saya melalui bahagian penguatkuasan," katanya.

Terdahulu, viral di media sosial netizen terkejut dengan kenaikan harga mendadak tiga menu popular restoran tersebut dan menggesa pihak berkuasa menyiasat perkara itu.