'Nak tercabut nyawa mama, bantal tungku moden meletup dekat dengan baby'

Loading...

"Nak putus nyawa mama, nak tercabut jantung. (Bantal tungku moden) meletup dekat dengan baby. Nasib baik Tuhan nak tolong lagi," demikian kata si ibu yang terkejut dengan kejadian yang baru berlaku dan nyaris mencederakan bayinya. 

Menurut Farah Iqlima, bantal tungku elektrik itu sedang dicas tak sampai lima minit, secara tiba-tiba ia meletup dan mengeluarkan cecair lalu terpercik pada dinding dan juga anaknya yang berada berhampiran dengan bantal tersebut. 

"Baby menangis-nangis, tokwannya bangun dari sofa. Jarak bantal itu dengan baby tak sampai sejengkal. Terpercik jugalah kat baby tapi tak teruk. Cepat-cepat basuh dengan air.


"Nak moden sangat la guna bantal tungku moden. Tengah-tengah cas nak bagi panas, sekali meletup. Nak kata lama, baru on plug tak sampai lima minit pun. 

"Cecair apa dalam bantal ini, nak basuh pun tak tanggal, bahaya. Sesiapa yang ada bantal ini, jangan guna dah. Buang je," katanya. 

Farah menjelaskan, dia berpantang seorang diri dan dalam masa yang sama perlu menjaga anak kecil dan anaknya yang lain. Sebelum ini dia sudah pernah menggunakan bantal tungku elektrik itu dan tidak pernah mengalami kejadian seumpama itu. 


"Guna bantal tungku moden bukan bermaksud membelakangkan cara tradisional. Memang batu tungku itu elok tetapi batu renyah sikit. Nak dipanaskan, kena ambil masa. Itu yang pilih guna bantal tungku moden. Plug in tak sampai lima minit, siap. 

"Saya berpantang sendiri saja. Manalah tahu benda ini nak terjadi. Lagipun memang dah biasa guna. Tiga empat kali dah beli dan tak pernah meletup lagi. Tak sangka benda nak terjadi," katanya. 

Farah reda dengan apa yang berlaku dan bersyukur anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan. Justeru, beliau menasihatkan mereka yang lain mengambil langkah berhati-hati.