Remaja 16 tahun dirogol sebelum kepalanya dipenggal dan wajahnya disimbah asid

Loading...

Polis telah menahan pasangan suami isteri dan seorang saudara kepada remaja perempuan yang mayatnya ditemui tidak jauh dari kediamannya di Patwatoli, Gaya, pada 6 Januari. 

Mayat mangsa, Anjana, 16, yang dipercayai telah dirogol, ditemui dalam keadaan kepalanya dipenggal di mana wajahnya telah melecur teruk akibat disimbah dengan asid, selain payudaranya juga telah dipotong. 

Pembunuhan kejam itu telah menimbulkan kemarahan orang ramai yang mengadakan protes menuntut pihak polis bertindak segera menangkap dan menghukum penjenayah terbabit. 

Pegawai Kanan Polis Gaya, Rajiv Mishra berkata, kakak mangsa mendakwa adiknya sebelum itu telah lari bersama seorang remaja lelaki pada 28 Disember lalu sebelum pulang ke rumah tiga hari kemudian. 

Selepas kembali ke rumah, si bapa pula meminta anaknya itu keluar mengikut seorang rakannya dan sejak dari itu mangsa tidak pulang ke rumah. 

Bapa mangsa kemudian membuat laporan polis pada 4 Januari berhubung kehilangan anaknya. 


Pada 6 Januari, polis menemui mayat mangsa dan meminta ahli keluarganya datang bagi proses pengecaman. Namun, mereka enggan datang ke balai polis dan menghalang dua anak mereka dari memberi sebarang kenyataan kepada polis. 

Tindakan pasangan itu menimbulkan rasa curiga polis yang kemudian mengesyaki keluarga itu terbabit dalam kes pembunuhan mangsa yang bermotifkan malu dengan perbuatan mangsa lari dari rumah dengan teman lelaki.

"Siasatan lanjut masih dijalankan. Mangsa telah dibunuh tiga atau empat hari sebelum mayatnya ditemui," katanya. 

Rajiv berkata, berdasarkan bukti-bukti yang ada, mangsa mungkin dibunuh oleh rakan bapanya dengan beberapa lagi individu lain yang terlibat. 


Penemuan mayat mangsa tidak beberapa jauh dari kediamannya menguatkan lagi prasangka bahawa keluarga itu terlibat dalam kes pembunuhan mangsa. Ahli keluarga mangsa juga memberi keterangan yang tidak memuaskan ketika disoal siasat. 

Menurut sumber polis, rakan kepada bapa mangsa telah ditahan dan semakan pada aktiviti telefon bimbitnya menunjukkan suspek ada berhubung dengan beberapa penjenayah tempatan.