'Siasatan sudah dihentikan tetapi...' - Pengerusi Masjid Ibnu Khaldun tuntut telefon bimbitnya bernilai RM21,000 dipulangkan segera

Loading...

Pengerusi Masjid Ibnu Khaldun, Taman Lavender Heights, Seremban, Mohd Asna Amin, yang didakwa mempunyai kaitan dengan penemuan lima bangkai anjing yang diracun awal bulan ini, kecewa apabila telefon bimbitnya yang bernilai RM21,000 itu masih belum dipulangkan selepas dirampas oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS). 

Menurut Mohd Asna, Pengarah JPVNS, Dr Nik Hamidah Nik Husin telah berjanji di hadapan penduduk ketika sesi dialog bersama Persatuan Warga Lavender Heights (PWLH) bahawa telefon itu akan dipulangkan dalam tempoh sehari atau dua hari. 

Namun sehingga waktu ini, Mohd Asna masih belum mendapat kembali telefon bimbitnya itu. 

"Telefon saya dirampas polis pada 9 Januari lalu dan diserahkan kepada pihak veterinar. Kerjasama diberi sepenuhnya termasuk siasatan sudah dihentikan (polis) tetapi telefon belum dipulangkan.

"Kes sudah dihentikan (siasatan), kenapa telefon bimbit saya belum dipulangkan? Setahu saya, hanya polis berhak merampas, bukannya JPVNS. 

"Melalui telefon itu, saya membayar gaji 300 pekerja dan pengesahan bayaran daripada pihak bank," katanya dan menegaskan sekali lagi bahawa bukan dia yang membunuh lima ekor haiwan berkenaan. 

Sementara itu, Nik Hamidah ketika dihubungi enggan mengulas lanjut dan memaklumkan kes itu masih dalam siasatan pihaknya.

Sumber: Harian Metro