Tertekan gagal ujian memandu kali ke-4, calon hunus pisau pada anggota JPJ

Loading...

Seorang penuntut kolej bertindak menghunuskan pisau terhadap anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan bertegas mahu ujian memandunya diluluskan. 

Dalam kejadian pada jam 10.23 pagi semalam di persimpangan lampu isyarat di Batang Benar, Mantin, Nilai, suspek berusia 18 tahun diminta memberhentikan kereta oleh anggota JPJ yang berusia 34 tahun, setelah melakukan beberapa kesalahan ketika menjalani ujian memandu. 

Difahamkan, suspek telah menjalani ujian ulangan buat kali keempat dan ketika kejadian suspek melakukan beberapa kesalahan termasuk tidak berhenti ketika lampu isyarat merah. 

Anggota JPJ terbabit kemudian memaklumkan bahawa calon telah gagal dan ketika mahu menukar pemandu, suspek mengeluarkan pisau pemotong sayur berukuran 30 sentimeter dari begnya lalu dihunus pada rusuk kanan anggota JPJ terbabit dan menegaskan dia mahu ujian memandunya diluluskan. 

Anggota terbabit bagaimanapun terus keluar dari kereta dan menghubungi penyelia calon serta polis untuk mendapatkan bantuan. 




Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, sepasukan anggota polis dikerahkan ke lokasi untuk menahan suspek sebelum dibawa ke Balai Polis Mantin. 

"Ujian air kencing turut dilakukan ke atas suspek yang berasal dari Kuala Lumpur, namun keputusannya negatif. 

"Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan bunuh," katanya. 

Sumber: Harian Metro