Ibu bapa boleh didenda RM20,000, penjara 10 tahun jika tidak beri anak suntikan vaksin

Loading...

Jumlah ibu bapa yang enggan memberi suntikan imunisasi kepada anak mereka semakin meningkat dan membimbangkan kerana ia boleh memudaratkan kanak-kanak lain. 

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menegaskan, ibu bapa yang didapati cuai terhadap anak-anak sehingga menyebabkan kematian, mereka boleh didakwa di bawah Akta Kanak-Kanak. 

"Akta Kanak-kanak punyai fasal kecuaian, vaksinasi sangat penting untuk kesihatan kanak-kanak.

"Kami merancang untuk mengambil tindakan terhadap ibu bapa yang mengabaikan kesihatan kanak-kanak dengan tidak memberikan vaksin. Ia bukan sahaja memberi impak kepada anak, tetapi kanak-kanak yang lain juga," katanya memetik laporan dari Astro Awani, hari ini.

Mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, mana-mana orang yang mengambil berat terhadap kanak-kanak, yang mendera, mengabaikan atau mendedahkan kanak-kanak dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan emosi atau fizikal boleh dikenakan denda RM20,000, hukuman penjara maksimum 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Ia merujuk kepada kes kematian seorang kanak-kanak lelaki baru-baru ini di Johor Bahru yang disyaki akibat jangkitan difteria pada 21 Februari lalu.

Kanak-kanak berusia dua tahun satu bulan itu dilaporkan tidak pernah memerika suntikan imunisasi.