Pengantin baharu kemurungan ditemui mati di tasik

Loading...

Mayat seorang wanita yang baharu sebulan berkahwin ditemukan terapung di tasik Taman Bandar Indera Mahkota, Kuantan kira-kira 15 jam selepas dia dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata mangsa Sharifah Abdullah, 24, ditemui oleh orang awam yang beriadah di tasik tersebut pada pukul 7.20 pagi Jumaat.


"Mangsa didakwa keluar rumah pada pukul 5 petang semalam dengan menunggang motosikal dan tidak pulang menyebabkan suami serta keluarganya mencarinya di sekitar bandar Kuantan pada pukul 11 malam tadi.

"Keterangan suami mangsa juga mengatakan isterinya mengalami masalah kemurungan akibat kemalangan tiga tahun lalu, yang turut menyebabkan mangsa mengalami tekanan," katanya kepada pemberita di Kuantan pada Jumaat.

Mohamad Noor menambah pihaknya dibantu tujuh anggota bomba untuk menarik mayat mangsa yang berada kira-kira dua meter daripada tebing tasik.

Beliau berkata bedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini, mengesahkan sebab kematian mangsa yang beralamat di Kampung Tiram di sini, adalah disebabkan lemas.

Katanya tiada kesan atau tanda unsur jenayah berlaku ke atas mangsa dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - Bernama