'Setiap malam terdengar suara orang menjerit....'

Loading...

Sekadar perkongsian untuk bacaan suka-suka. Bagi mereka yang lemah semangat dan mudah terbayangkan perkara yang tidak sepatutnya, anda dinasihatkan untuk tidak meneruskan bacaan. Risiko tanggung sendiri. Gambar-gambar yang digunakan juga hanyalah sekadar hiasan sahaja. Selamat membaca.

Saja nak berkongsi cerita dari keluarga aku. Sahih ke tidak, aku tak jamin. Baca buat hiburan saja. Hehehe! 

Cerita aku pun tak ikut timeline. Mana yang ingat, aku ceritalah. Maaf kalau gaya penulisan tak berkenan di hati. Aku tak ambil kelas penulisan kreatif. 

BANDANG

Cerita ini aku dengar dari ayah aku. Ayah aku membesar di Melaka, tapi loghat, adat, suku masih ikut macam Negeri Sembilan, sebab sempadan kot? 

Korang pernah dengar perkataan 'Bandang'? Dari kecil lagi ayah aku kalau nampak anak-anak dia rambut tak reti nak sikat, ikat elok-elok, mesti dia kata, 

"Apo kau ni dah macam bandang ghoman (rupa) kau." 

Perkataan itu melekat juga kat anak-anak dia sampaikan kitorang kalau nampak orang rambut serabai mesti kitorang kata macam bandang. Padahal masa itu tak tahu pun bandang itu apa. Sampai mak aku marah, "panggil-panggil bandang tu, datang betul-betul tau la korang".

Bila dah dewasa sikit, aku pun ambil inisiatif nak tahu apa benda bandang ni. Aku pun tanyalah pada ayah. Ayah kata bandang ini sejenis hantu yang famous di kampung dia dulu dan dia pernah terjumpa sekali. 


Masa itu dia masih kecil, sekolah rendahlah kiranya. Bangun pagi nak mandi dan pergi sekolah. Zaman itu tak ada air paip, jadi kenalah mandi di perigi. Perigi pula jauh dari rumah, jadi berjalanlah dia seorang diri ke perigi itu. 

Masa itu gelap lagi dalam jam 6 pagi agaknya. Entahlah, dia tak ada jam. Lampu jalan pun tak ada tapi masih boleh nampak jalan raya, pokok apa semua la dalam keadaan samar-samar. 

Bila dah sampai ke perigi, dia buka pakaian nak mandi dan terdengar bunyi...

"Bbbrrrrr.... Bbbrrr....." 

Bunyi seperti orang menahan kesejukan. Tetapi bila tengok tepi, tak ada orang pun? Padahal bunyi itu macam dekat. Dia pun tinjau di sebelah depan (balik) perigi. Haa! Nampaklah satu makhluk ini sedang duduk mencangkung elok saja. 


Badannya besar dari manusia biasa. Muka tak nampak sebab rambut penuh di depan menutupi wajahnya. Rambut dia mengerbang panjang, kasar-kasar seperti penyapu sambil itu tak berhenti buat bunyi "Bbbrrr..... Bbbrrrr....." 

Ayah aku dah ketar lutut nak lari dah tetapi dia ingat pesan orang-orang tua (entah orang tua mana pesan kat dia) yang mana kalau nampak bandang ni kita lari, nanti kita kena demam panas sambil buat bunyi "Bbbbrrrr.... Bbrrr..." yang macam badang itu buat.

Dia kata memang biasa dah orang kampung terjumpa bandang ni.

Jadi, ayah pun batalkan niat nak lari. Dia buat relaks saja cedok-cedok air sikit simbah badan. Kemudian ambil kain baju, perlahan-lahan undur dan bila dah jauh sikit dari perigi, barulah dia lari. Bandang itu pun tak kacau apa. Duduk saja di situ sampai ayah aku blah. 

'BENDA ITULAH!'

Cerita ini juga berlaku pada ayah juga dan masa ini dia baru masuk FELDA. Aku pun baru berusia tiga tahun. 

Mula-mula masuk rumah Felda, mak aku kata memang sedih tengok keadaan rumah. Macam rumah yang ditinggalkan dengan lalang tinggi berdiri. Sebab itu ada yang tak tahan bila nampak rumah itu begitu terus blah lari dari Felda. Jenis yang tak sanggup nak hidup susah. 

Jadi, aktiviti utama pada masa itu adalah mengemas kawasan rumah. Lalang memang naik sampai ke lantai rumah. Kena tebas semua, kemudian cuci atas rumah, gosok bagi lantai licin. Al-maklumlah rumah lantai kayu dan tak pernah duduk, penuh dengan selumbar. 

Mak kata, 2-3 minggu selepas itu bermulalah gangguan dialami oleh ayah aku yang selalu mengadu sakit bahu. Awalnya mak buat biasa saja dan menyangka mungkin ayah penat menebas, cuci rumah apa semua kan. 

Tetapi selepas itu makin lama makin teruk pula keadaannya sampai tahap ayah aku tak boleh nak berdiri. Katanya bahu terasa berat sangat. 

Mak pula selalu rasa macam ada orang jalan-jalan dalam rumah. Tetapi bila tengok, tak ada. Mak tak hairan sangat tentang hal itu sebab dia kata gangguan seperti itu biasa saja. 


Tiap-tiap malam terdengar suara orang menjerit, kejap rumah ini, kejap rumah itu. Yela, kawasan baru duduk kan? 

Bila dah teruk sangat, sampai ayah aku tak boleh nak pergi menoreh, mak pun minta tolong dari jiran kalau ada sesiapa yang mahir mengubat orang ini. Jiran pun tolong bawa ayah pergi berubat ke sana sini. 

Masa itu, seorang jiran saja yang ada kereta. Yang lain semua miskin. Kalau siapa-siapa sakit ke, nak pergi pekan ke, jiran inilah yang tolong bawakan. Last-last dia jadi ketua kampung. 

Mak aku kata dia tak berapa ingat berapa ramai yang dia pergi berubat. Tapi masalahnya setiap kali nak pergi berubat, ayah aku elok. Tapi bila di rumah punyalah melepek takboleh bangun, muka tak berdaya, sampai kena papah masuk dalam kereta. 

Bila keluar saja dari kawasan Felda itu, segar bugar. Siap lepak minum di pekan Bahau lagi, langsung tak sakit. 

Bila dah tengok sihat macam tu, diorang pun bawalah ayah balik. Sampai di rumah, naik rumah terus melepek semula, tak boleh bangun. 

Bila dah banyak kali jadi begitu, mak pun ikhtiar cara lain dengan meminta perawat datang ke rumah pula sebab gangguan berlaku di rumah saja kan. 

Mak kata, perawat yang terakhir sekali datang itu bukan setakat ubatkan ayah, tetapi mereka pagarkan sekali kawasan rumah di kejiranan itu. Alhamdulillah dah tak ada gangguan teruk sejak dari itu. 

Jadi bila perawat ini naik atas rumah dah tengok ayah aku, dah periksa bilik, dia pun duduk depan ayah dan tanya.

"Kau ada alih katil dalam bilik tu ke hari tu?" 

"Ada," jawab ayah. 

"Haa tu la dia marah. Dia kata kau alih katil itu dah menghalang laluan dia," katanya. 

"Manalah aku tau, bukan aku nampak," jawab ayah. 

"Sekarang ni dia duduk bertenggek di atas bahu kau. Tu yang bahu kau rasa sakit saja. Tapi dia tak boleh keluar dari rumah ini dan sebab itu bila kau berada dalam rumah ini je rasa sakit," katanya. 

Dipendekkan cerita, perawat itu pun berbincang dengan makhluk itu dan meminta dia pindah. Tak tahulah cerita selanjutnya. 

Mak kata, proses merawat ini makan masa berhari-hari juga dan dalam masa itu ayah dan anak-anak diminta duduk menumpang dulu di rumah jiran. Tapi perawat itu beritahu benda alah itu nak keluar, cuma syarat dia, dia nak tunjuk muka sebelum keluar nanti. 

Lebih kurang hari ketiga, mak balik ke rumah seorang diri pagi itu, nak kemas rumah katanya. Dah buka pintu tingkap semua, dia pun mulalah menyapu. Tengah dia menyapu area tengah rumah, dia perasan seperti ada orang mengikutnya dari belakang. 


Bila dia melangkah setapak, bunyi di belakang pun seperti melangkah setapak. Bila langkah dua tapak, yang belakang pun melangkah dua tapak juga. 

Mak nak lari tetapi takut benda itu kejar. Jadi dia pun sambung menyapu sambil menyusur di dinding rumah nak turun ke pintu dapur. Mak langsung tak pandang atas, takut katanya. Dia memang tunduk sajalah pandai lantai sambil menyapu. 

Rumah Felda ini, dari ruang tengah nak turun ke dapur ada tiga anak tangga. Mak nak lari ikut pintu belakang ni kenalah turun dapur dulu. Sampai di area dapur, mak tak terus lari tetapi acah-acah menyapu lagi. Tapi bunyi yang mengekorinya tadi sudah berhenti. 

Sambil tunduk itu dia menjeling ke arah tangga tadi. Nampaklah kaki besar bukan main tegak saja di atas tangga itu. Macam kaki beruk berbulu-bulu. Memang dia tak ikut dah tapi dia macam perhati saja mak menyapu. Mak pun bila dah sampai saja ke pintu nak ke bawah, perlahan-lahan turun. Bila dah jejak tanah, tak sempat sarung selipar terus berlari ke rumah jiran. 


Bila beritahu dengan perawat itu, dia kata, "Benda itu lah yang duduk di atas bahu Amin (ayah) ni. Kan dia nak tunjuk diri sebelum keluar. 


Mahu kongsikan cerita pengalaman atau kisah seram anda? Hantarkan kepada kami di thereportermyofficial@gmail.com