'Tiada suntikan vaksin, tidak boleh ke sekolah' - Doktor

Loading...

Tiada suntikan vaksin, tiada sesi persekolahan bagi anak-anak yang ibu bapa mereka enggan membenarkan pengambilan suntikan sehingga menyebabkan berlaku kes kematian baru-baru ini, demikian saranan penggiat industri kesihatan.

Saranan itu adalah antara gesaan mereka berikutan rancangan Kementerian Kesihatan  untuk membentangkan cadangan dan dasar supaya suntikan vaksin imunisasi diwajibkan.

Presiden Persatuan Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, sudah sampai masanya suntikan vaksin imunisasi ini diwajibkan sebelum kanak-kanak menyertai alam persekolahan kerana ia telah melibatkan kematian dan boleh menjadi epidemik jika tidak ditangani dengan baik.

"Suntikan vaksin imunisasi ini perlu mandatori. Ia melibatkan kematian dan ia perkara serius kerana penyakit seperti difteria, ia boleh berjangkit jika tersebar," katanya kepada pemberita.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad semalam, bahawa pihaknya  akan membentangkan cadangan dan dasar supaya suntikan vaksin imunisasi diwajibkan.

Menurutnya, kementerian mendapat 'desakan' kuat pelbagai pihak supaya kerajaan mempertimbangkan mewajibkan imunisasi vaksin berikutan keengganan ibu bapa mengambil suntikan sehingga menyebabkan berlaku kes kematian.

Ketika ini, tidak menjadi satu kewajiban atau mandatori kepada kanak-kanak untuk divaksin sebelum dibenarkan masuk ke sesi persekolahan dan ia terpulang kepada pihak sekolah untuk melakukan pemeriksaan atau pengesahan lanjut.

Mengulas mengenai perkara ini, Dr. Ahmad Shukri berkata, jika ibu bapa masih berdegil dan ingin terus menghantar anak-anak ke sekolah walaupun tanpa pengambilan suntikan vaksin, pihak sekolah boleh  mengeluarkan surat kebenaran supaya pusat kesihatan memberikan vaksin kepada anak mereka.

"Ia melibatkan kebenaran ibu bapa, jika tidak, anak mereka akan menyebarkan pelbagai penyakit kerana tidak divaksin sebelum ini.

Jika masih lagi tidak mahu memberi kebenaran, maka pihak sekolah tidak akan bertanggungjawab jika ada kematian melibatkan mana-mana pihak," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden I-MEDIK Malaysia, Prof Dr. Azizi Ayob berkata, cadangan supaya mewajibkan kanak-kanak yang ingin mendaftarkan diri di sekolah supaya mengemukakan rekod imunisasi adalah baik kerana ia boleh mengelakkan mereka menjadi ejen penyebar penyakit yang boleh dicegah. - Bernama