Pandai pinjam PTPTN, pandailah bayar semula untuk digunakan oleh pemohon baharu

Loading...

Para peminjam dana pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) digesa menjelaskan pinjaman agar wang berkenaan dapat digunakan oleh pemohon baharu. 

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, kegagalan peminjam berbuat demikian akan menjejaskan peluang pelajar baharu memasuki institut pengajian tinggi dari mendapatkan bantuan dari PTPTN. 

Menurut beliau, sejak diwujudkan 21 tahun lalu, 362,000 daripada 1.9 juta peminjam tidak menjelaskan pinjaman mereka yang berjumlah RM2.7 bilion. 

"Peminjam harus sedar bahawa wang yang digunakan untuk memberi pinjaman kepada mereka dipinjam oleh PTPTN daripada bank yang dikenakan faedah sebanyak lima peratus, sedangkan pelajar hanya dikenakan faedah satu peratus sahaja oleh PTPTN. 

"Sehingga kini, PTPTN mempunyai hutang pokok dengan bank sebanyak RM40 bilion dan faedah pinjaman itu sahaja berjumlah RM12 bilion," katanya. 

Walau bagaimanapun, PTPTN masih mencari formula terbaik untuk meringankan beban peminjam agar mereka dapat membayar balik pinjaman di samping beban hutang PTPTN sendiri berkurangan. 

Sumber: Harian Metro