(Video) Pesawat terpaksa berpatah balik, penumpang tertinggal bayinya di terminal

Loading...

Sebuah pesawat komersial dilaporkan terpaksa berpatah balik ke lapangan terbang Arab Saudi selepas seorang penumpang wanita tertinggal bayinya di terminal.

Pesawat SV832 Saudia dari Jeddah itu difahamkan dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur dan penumpang wanita itu kemudian menyedari bayinya tiada di sisi lalu memaklumkan kepada kru kabin. 

Kejadian itu menyebabkan juruterbang terpaksa meminta kebenaran dari pusat kawalan trafik udara untuk kembali semula ke Jeddah. 

Difahamkan, wanita itu tertinggal bayinya di ruang istirehat di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz. 

Video rakaman suara juruterbang SV832 meminta kebenaran untuk berpatah balik ke Jeddah juga viral di media sosial. 

"Semoga Allah bersama kita. Kami boleh berpatah balik atau tidak?" soal juruterbang berkenaan kepada pegawal trafik udara yang kemudian bertanya kepada rakan setugasnya;

"Pesawat ini meminta kebenaran untuk berpatah balik, ada penumpang tertinggal bayinya di ruangan menunggu. Kasihannya." 

Pegawai terbabit kemudian meminta pengesahan semula dari juruterbang SV832. 

"Seperti yang dimaklumkan, ada penumpang tertinggal bayinya di terminal dan enggan meneruskan penerbangan ini," kata juruterbang SV832. 

"Okey, patah balik semula," balas pegawai berkenaan. 


Sementara itu di media sosial, netizen memuji tindakan juruterbang yang sanggup berpatah balik agar si ibu dapat mengambil bayinya semula.