Bengkak di tengkuk, murid dakwa dipukul cikgu


Seorang murid Tahun Dua dilaporkan cedera di bahagian tengkuk kanannya didakwa akibat dipukul guru di sekolahnya, lapor Harian Metro

Ibu mangsa hanya menyedari kecederaan yang dialami ketika mengambil mangsa di rumah neneknya di Kampung Padang, Hulu Langat, petang semalam. 

"Ketika menjemput mangsa kira-kira pada jam 4 petang, ibunya terkejut melihat kesan lebam yang teruk di bahagian tengkuk kanan anaknya. 

"Apabila ditanyakan mengenai kecederaan itu, mangsa berkata dia ditampar salah seorang gurunya pada Jumaat lalu, malah turut memberitahu nama cikgu yang terbabit.

"Ibunya yang berang terus ke pejabat guru besar dan memaklumkan kejadian berkenaan sebelum hadir membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang," kata sumber. 

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.