Rumah terbakar, 2 beradik ditemui rentung dalam keadaan berpelukan

Foto oleh Kosmo!
Mayat dua beradik ditemui rentung dalam keadaan berpelukan, selepas rumah mereka musnah terbakar, lapor Harian Metro

Dalam kejadian jam 4 petang tadi di Kampung Hilir, Lingga, Sri Aman, Sarawak, mayat Zulkarnain Ajizul, 5, dan adik bongsunya, Zulfadli Ajizul, 2, ditemui dalam keadaan menyayatkan hati selepas dipercayai terperangkap di bawah runtuhan rumah berkenaan.

Kakak mereka yang berusia lapan tahun yang turut berada di rumah pada ketika kejadian, melecur tetapi sempat menyelamatkan diri.

Difahamkan, beberapa jiran berhampiran cuba membantu menyelamatkan dua beradik berkenaan, malangnya tidak dapat berbuat demikian kerana api sudah terlalu marak. 

“Jiran sedaya upaya membantu, namun api terlalu marak dengan beberapa bahagian rumah mula runtuh. Sayu mendengar tangisan dan jeritan mereka meminta tolong sebelum 'sepi'.

“Semoga Allah merahmati dua anak syurga ini," kata saksi kepada NSTP. 

Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.28 petang. Lapan anggota bersama sebuah jentara dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman dikerahkan ke lokasi kejadian. 


"Ketika tiba di lokasi kejadian, hampir sebahagian struktur rumah musnah terbakar. Api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira jam 6.28 petang," katanya.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Sri Aman untuk bedah siasat dan punca kebakaran dan nilai kerugian sebenar masih disiasat.