'Dia minta tolong anak saya pegang barangnya' - Ibu dedah anaknya nyaris jadi mangsa sindiket penyeludupan dadah di airport


Apabila berada di pintu keluar masuk negara seperti lapangan terbang antarabangsa, orang ramai khususnya golongan muda dinasihatkan tidak berurusan dengan orang yang tidak dikenali jika tidak mahu menjadi 'keldai dadah'. 

Sudah banyak kes rakyat Malaysia menjadi mangsa sindiket penyeludupan dadah terancang di mana mangsa diperdaya untuk membawa dadah ke negara lain dengan kaedah menyembunyi barangan terlarang itu di dalam bagasi, anak patung, pakaian, menelan barangan tersebut dan banyak lagi kaedahnya bagi menjayakan penghantaran itu. 

Dalam kejadian terbaru, wanita ini mendedahkan anaknya dihampiri oleh seorang individu yang tidak dikenali kerap meminta bantuan anaknya. Mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena, dia segera datang menghampiri dan meminta individu itu tidak mendekati anaknya. 

SEKARANG musim orang bercuti. Ada yang bercuti dalam Malaysia saja dan ada yang bercuti di luar negara. Saya cuma ingin kongsikan satu peristiwa sewaktu berada di KLIA 2. Ketika itu saya bersama anak perempuan saya. Kami berdua berlegar-legar sementara masuk ke balai pelepasan. Mungkin perkongsian ini boleh menjadi peringatan kepada orang lain agar sentiasa berhati-hati dari menjadi mangsa orang jahat yang sentiasa mencari mangsa. 

Sedang kami berdua berjalan santai, jarak kami berdua kira-kira beberapa meter anak perempuan saya di hadapan. Tiba-tiba seorang wanita dalam usia 30-an menegur anak saya dengan ramah, nak meminta tolong katanya. Di tangannya ada satu beg kertas nampak berisi dua bungkus milo besar. Katanya dia beli untuk anaknya, konon dia nak balik Indonesia dan gaya percakapan pun seperti orang sna. 

Anak saya bersangka baik, angguk tanda setuju menolongnya. Tolong pegang barangnya sehingga melepasi pemeriksaan imigresen. Konon katanya barangnya itu melebihi berat 7 kg, jadi maksudnya nak menumpanglah orang lain. 

Apabila saya menghampiri wanita itu konon cuba terangkan dan minta tolong sekali lagi. Saya pun hairan juga. Nampak tak ada pun beg lain bersamanya sampai lebih 7 kg, selain beg kertas itu sahaja. 

Saya cakap dengan tegas, "Awak bawa sendiri barang awak. Awak ada dua pilihan saja. Bayar lebih atau buang saja 'milo' itu." 


Saya terus tarik tangan anak saya dan ingatkan supaya jangan percaya pada sesiapa pun di airport kalau ada yang meminta tolong untuk simpan atau bawa barang mereka. 

Teringat kes yang pernah dilalui oleh seorang rakan saya beberapa tahun lalu. Dia masuk tandas cuma 8 minit. Bila keluar, anak perempuannya yang berusia 7 tahun sedang bermain patung beruang yang dipinjamkan oleh seorang wanita di sebelahnya ketika bersama-sama nak naik flight di KLIA. 

Kerana bersangka baik, diam embiarkan anak kecilnya itu membawa anak patung itu sehingga tiba di pemeriksaan imigresen. Dan di situlah igauan ngeri pun berlaku. Ada dadah di dalam patung itu dan wanita yang bertanggungjawab itu tadi telah hilang entah ke mana. 

Akibatnya, beliau ditahan, di bawa ke bilik pemeriksaan dan disiasat sampai pagi dengan pelbagai soalan diajukan kepadanya. 

Dipendekkan cerita, dia dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan memiliki dadah sekian-sekian banyak. Nasib baik dia dibebaskan disebabkan campur tangan orang tertentu. Tetapi kes selesai dengan bayaran denda yang boleh tahan banyak jumlahnya. Kalau tidak, tali gantunglah jawabnya. 

Berhati-hatilah, jangan jadi seperti pelanduk yang sering kali melupakan jerat. Kalau dah terkena, Allah saja yang tahu. Silap-solap tak pasal-pasal masuk lokap kerana sikap cuai sendiri. Jangan sampai perasaan suka bertukar menjadi duka, tawa berganti air mata. Musuh mana ada hati budi. 

Ingat, jangan memandai-memandai tolong bawa barang orang. Jangan baik tak bertempat, jangan mudah percaya, jangan mudah seronok sangat jumpa orang ramah yang tidak dikenali. Simpan sedikit prasangka itu. Ia kadang-kadang diperlukan juga dalam suasana masyarakat sekarang.