'Dia tak merengek, padahal kulitnya tersiat, 4 tulang rusuknya patah, pendarahan dalam kepala' - Kisah hidup anak ini, buat netizen rasa sebak


Ketika kanak-kanak lain sedang gembira bermain bersama rakan-rakan, gajet, permainan, tetapi kanak-kanak ini turut membanting tulang membantu ibu bapanya mencari rezeki. Tetapi kini kudratnya tiada daya setelah dia dikhabarkan terlibat dengan kemalangan.

Si pelaku masih berdiam diri sehingga kini sedangkan mangsa menanggung kesakitan akibat kemalangan langgar lari itu. Walaupun empat batang tulang rusuknya patah dan masih ada darah beku dalam kepala, Ayin seorang kanak-kanak yang kuat.

Ayin dikatakan dilanggar di depan Petron Selayang ketika dia berlari mengejar lori yang dipandu ayahnya untuk menyerahkan barang ayahnya yang tertinggal.

Kisah Ayin ini tular setelah Cikgu Fadli memuat naik status mengenainya di Facebook. Kisahnya turut mengundang simpati netizen dan pihak sekolah Ayin. Rata-rata netizen mendoakan agar Ayin diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan.

ANAK ini, setiap kali aku ke rumahnya, berlari-lari dia mendapatkan aku. Menghulur tangan untuk bersalaman lantas mengucup tanganku.

Anak ini, setiap malam membantu ibu dan ayahnya menjual kerepek di Kolam Air Panas Selayang. Umurnya baru 10 tahun. Tapi keperitan hidup itu dia mengerti.

Tidak pernah dia berkeluh kesah walau berbulan-bulan tidur dalam kereta. Tidak pernah dia merungut kesusahan bila tidurnya hanya berbantalkan lengan sahaja.

Berselimutkan dingin yang sejuk, dihurungi nyamuk yang banyak dan berbumbungkan langit yang gelap.

Anak ini, acapkali aku ziarahi. Dari dia tinggal di dalam kereta tanpa rumah, sehingga pusat zakat menemui mereka dan memberikan tempat perlindungan. Dari mereka menjual atas bonet kereta, sehingga perlahan-lahan membeli khemah dan gerai untuk menjual di kolam air panas bersama ibu, ayah dan adik-adik.

Gerai kecil mereka tutup jam 1 pagi setiap hari. Namun adik Nazrin sangat rajin. Kepenatan itu tidak dijadikan alasan untuk malas ke sekolah. Penuh bersemangat memikul beg dan berjalan kaki ke sekolah setiap hari.

Hubungan dia dan keluarganya dengan aku tidak lagi bagai orang asing. Mereka ini seakan sebahagian keluarga aku juga. Setiap kali Dana Kita beraksi, keluarga dia sentiasa aku ziarahi. Apa sahaja berita gembira, aku antara orang terawal mereka akan maklumkan.

Dan malam tadi selepas Isyak, ada satu wasap masuk dari ayah anak ini. Bukan ingin berkongsi berita gembira, tetapi ingin memberitahu berita duka. Adik Nazrin kemalangan. Empat tulang rusuknya patah. Lebih merisaukan, ada pendarahan dalam kepala. Pakar bedah dari Hospital Sg Buloh segera berkejar dan membuat penilaian.

Kata doktor, jika darah beku itu makin banyak di dalam kepala, esok mesti dibuat pembedahan segera.

Sahabat... Aku dengan rendah diri memohon kalian doakan anak ini. Doakan agar semuanya selamat dan baik-baik sahaja. Doakan agar diberi kesembuhan segera.

"Namun dia tidak merengek, meraung mahu pun menangis."

"Ayin. Ayin. Bangun. Tengok siapa datang ni," bisik si ibu sambil menggongcangkan badan adik Nazrin perlahan.

"Eh, Cikgu Fadli."

Terus dihulur tangan untuk bersalam. Berkerut mukanya menahan kesakitan tulang rusuknya yang patah. Dikucup tangan aku. Kemudian dia cuba senyum dan berlakon macam tiada apa-apa. Ah, anak ini sungguh kuat!

Padahal tubuh badannya cedera, kulit tersiat, empat tulang rusuknya patah, ada pendarahan dalam kepala. Namun dia tidak merengek, meraung mahu pun menangis.


10 minit kemudian, si ayah sampai bersama 3 lagi anak-anak mereka termasuk yang baby baru berusia 5 bulan. Malam tadi mereka hanya tidur ditemani ayah mereka sementara si ibu menemani Ayin di hospital. 

Sebaik ayahnya melihat aku, terus air matanya melunjur laju. Sebak dan sedih yang tidak mampu ditahan-tahan. Aku gosok bahunya seraya menenangkan. Adik-adiknya meluru ke arah abangnya sambil menangis memanggil nama.

Kakak datang bersalam dengan aku lantas memeluk pinggang aku. Si adik pun sama, lepas bersalam terus datang peluk aku. Ah, anak-anak ini sememangnya rapat dengan aku. Menangis teresak-esak mereka berdua dalam pelukan yang kemas dan kejap. Mereka kemudiannya bersalam dengan abang mereka yang masih lemah.

"Ibu. Nak baby. Nak cium baby," minta Ayin perlahan. Dia memang abang sulung yang sangat kasihkan adik-adiknya. Terus ibunya sua baby itu untuk dikucup abang.

Tidak lama kemudian, PK Hem sekolah Ayin sampai. Post aku tular hingga ke pengetahuan mereka. Alhamdulillah, ramai juga guru Ayin yang hadir tadi. Semua pakat mengirim sumbangan, semua pakat mendoakan, semua pakat memberi semangat pada anak ini.


Alhamdulillah. Ayin makin positif. Walau empat batang tulang rusuknya patah, walau masih ada darah beku dalam kepala, dia masih kenal semua orang di sekelilingnya.

Perkembangan positif ini sangat bagus. Lagi pun Ayin dah dibenarkan makan. Dia boleh menelan makanan lembut dengan baik. Sebelum ini terpaksa berpuasa sebagai persediaan untuk operation.

Kata doktor, mereka akan buat CT Scan 8 jam sekali untuk lihat darah dalam kepala. Jika makin banyak, operation akan dilakukan segera. Dan jika; jika otaknya membengkak, tempurung kepala yang dibuka semasa pembedahan tidak akan di pasang semula. Ini paling merisaukan.

Namun jika otaknya tak bengkak, tempurung yang dibelah itu boleh dicantumkan kembali. Jom kita pakat doakan agar pendarahan dalam kepala itu tidak serius dan tidak perlukan pembedahan lanjut.

Mungkin asbab doa dari ribuan kawan-kawan sejak semalam, dan juga usaha pihak doktor yang merawat, perkembangan Ayin sangat positif hari ini. Terima kasih atas doa semua. 


Oh ya. Ayin sebenarnya dilanggar lari. Semalam, Ayin menemani ayahnya menghantar buah ke Port Dickson. Ayahnya bekerja sebagai pemandu lori buah. Semalam, Ayin nak ikut sama. Ayahnya bawa ke sana. Seronok Ayin dapat teman ayahnya menghantar buah ke dalam kem askar di Port Dickson.

Sebaik pulang, ayahnya menghantar anak ini ke rumah dan meminta duduk sahaja di rumah. Ayin masuk ke dalam rumah dan terlihat ada barang ayahnya tertinggal di atas meja.

Dia ambil barang tersebut dan berlari mengejar lori ayahnya. Katanya, dia dilanggar di depan Petron, Selayang. Ayahnya tak sedar pun kejadian tersebut dan teksi yang melihat kejadian itu terus membawa Ayin ke hospital. Sementara pemandu yang melanggar Ayin terus berlalu pergi. 

Menjelang Maghrib, si ayah dan ibu mula risau bila Ayin tidak pulang-pulang. Baru sahaja mereka keluar untuk mencari Ayin, ada panggilan mengatakan Ayin di zon merah wad kecemasan, Hospital Selayang. 

Begitulah kisahnya. Di harap pemandu yang melanggar Ayin dan saksi dapat tampil membuat laporan polis. Ayah Ayin juga akan buat report polis petang ini. Sebelum beredar, aku kirim sumbangan Dana Kita kepada ibu dan ayahnya.

Mereka sangat berterima kasih atas kunjungan aku dan mendoakan semua kawan-kawan yang baik hati dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur. Terus aku aminkan doanya. Moga-moga doa tersebut diangkat ke langit dan diperkenankan Allah taala. Amin, Ya Rab.