Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un, Adib sudah tiada...


Anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya yang diserang perusuh di Kuil Maha Mariamman, USJ25 27 November lalu, dilaporkan telah meninggal dunia pada jam 9.41 malam tadi. 

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengesahkan perkara itu ketika melawat Allahyarham di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah pagi esok untuk penghormatan terakhir sebelum dibawa menaiki helikopter untuk pulang ke kampung halaman di Kedah bagi proses pengebumian selepas solat Zohor.

Dalam kejadian 1 pagi November lalu, Muhammad Adib yang pergi ke lokasi bagi memadam kebakaran kereta di luar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya bersama pasukannya, dilaporkan cedera diserang perusuh.

Dia yang duduk di bahagian penumpang hadapan unit EMRS dikatakan ditarik keluar oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul. Bagaimanapun, mangsa diselamatkan beberapa orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum dibawa ke SJMC untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, Adib merancang untuk melangsungkan perkahwinan dengan tunangnya, Nurul Najihah pada 21 Disember ini.

Susulan kejadian itu, polis telah menahan empat lelaki untuk membantu siasatan dan kesemua mereka dibebaskan pada 10 Disember lalu di mana 2 suspek dibebaskan dengan bon mahkamah sebanyak RM2,000, manakala 2 lagi dibebaskan dengan jaminan polis. 

Kesemua suspek berusia 21 hingga 24 tahun itu direman selama 4 hari bermula Jumaat, 7 Disember lalu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Sumber: Harian Metro