Mak nyah maut dibelasah 4 lelaki kerana curi handphone pelanggannya


13 Disember lalu seorang mak nyah dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 10.47 pagi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) kerana cedera parah dibelasah sekumpulan lelaki. 

Difahamkan, mangsa berusia 32 tahun berasal dari Sabah itu ditemui dalam keadaan terbaring dan cedera parah oleh seorang pengawal keselamatan hotel di Bukit Tinggi pada jam 7 pagi Selasa. 

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, susulan dari kejadian itu, pihaknya telah menahan empat lelaki berusia 15 hingga 21 tahun dipercayai terbabit dalam kes yang menyebabkan kematian mangsa. 

"Kesemua yang ditahan mengaku terbabit dalam kes berkenaan. Siasatan awal mendapati mangsa dipukul selepas disyaki mencuri telefon bimbit jenis Huawei Nova 2i milik salah seorang suspek ketika melanggan mangsa pada November lalu. 

"Kes ini tiada kaitan dengan kebencian terhadap golongan LGBT. Justeru kami mengharap masyarakat jelas mengenainya dan tidak mengaitkan kes ini dengan LGBT," katanya. 

Hasil bedah siasat mendapati terdapat 32 kesan kecederaan pada badan mangsa, selain mengalami pendarahan teruk termasuk di bahagian otak serta tengkoraknya retak. 

Dua suspek sudah direman selama enam hari bermula Jumaat hingga 19 Disember ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.