Maut dirempuh lori ketika sedang menukar tayar


Seorang lelaki maut dirempuh lori tiga tan ketika sedang menukar tayar keretanya yang rosak di Kilometer 269.3 Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, kereta yang dipandu Mohd Solehan Mohd Nasir, 32, mengalami kerosakan di bahagian tayar hadapan kanan. 

"Akibat kerosakan itu, mangsa memberhentikan kenderaan di laluan kecemasan dan menukar tayar. 



"Ketika sedang menukar tayar, sebuah lori seberat tiga tan tanpa muatan hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang kanan kenderaan mangsa dan pemandu yang berada di lorong kecemasan ketika itu," katanya. 

Kemalangan itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan. 

Sementara itu, isterinya, Nor Baizura Ab Aziz, 32, dan tiga anak mereka, Nur Zakirah, 8, Nur Dayana Batrisya, 4, dan Nur Humairah, 3, yang berada di dalam kenderaan ketika itu turut mengalami kecederaan. 



Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban (HTJS) untuk dibedah siasat. Ahli keluarga mangsa dan pemandu lori serta kelindannya juga dihantar ke hospital yang sama untuk dirawat. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. 

Sumber: Harian Metro