'Mengaku sajalah PH gagal mansuhkan PTPTN' - Najib


Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Mastura Mohd Khalid berkata, pihaknya memerlukan tempoh 6 hingga 12 bulan bagi mengkaji semula perlaksanaan kaedah baru bayaran balik pinjaman pendidikan. 

Tempoh itu diperlukan untuk mendapatkan formula baru kaedah pembayaran pinjaman melalui perbincangan dengan pihak berkepentingan serta mengambil kira maklum balas yang diterima daripada semua pihak. 

Hasil perbincangan itu kelak akan dimaklumkan kepada Kementerian Pendidikan sebelum mekanisme baru itu dilaksanakan. 

Bagaimanapun, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menyindir usaha kerajaan yang mahu membuat kajian semula itu sebagai u-turn dan mahu Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengakui mereka gagal memansuhkan PTPTN. 

"Kerajaan PH umum mereka perlu masa tambahan sampai satu tahun lagi untuk buat kajian mencari kaedah pembayaran PTPTN baru. Kaji, U-turn. Kaji, U-turn. Kaji, U-turn. Kini kaji setahun lagi. 

"Tak mustahil sampai masa PRU15 tiba pun, PH masih gagal cari penyelesaian. Lebih baik PH mengaku saja mereka telah gagal untuk memansuhkan PTPTN dan semua peminjam tidak perlu bayar lagi. 

"Gagal juga untuk tunaikan janji yang RM4,000 ke bawah tidak perlu bayar. Sebagai tanda mohon maaf, hadiankanlah sehelai tuala Good Morning kepada setiap peminjam. 

"Seperti yang saya kata hari itu, kalau dah tak boleh tunai janji manifesto atau beri pendidikan percuma, sekurang-kurangnya copy paste apa BN buat dulu," tulisnya di Facebook. 

Sementara itu di media sosial, netizen meminta Najib jangan terlalu angkuh dan berlagak kononnya di zaman pemerintahannya semua janji BN telah dilaksanakan. 

"60 tahun BN dah pencen. PH masih bayi lagi tu. kasi peluang, matang sikit la. Manifesto BN dulu sering diulang-ulang sampai meluat nak dengar, masih belum terlaksana pun tak ada orang ambil peduli sangat," kata netizen. 

"Hari-hari cari fakta dok serang PH, tapi tak tengok kelemahan sendiri sampai seorang demi seorang MP keluar parti," kata seorang lagi netizen.