'Mereka datang jumpa saya nak minta nasihat keluar UMNO' - Tun M


Sebelum ini, viral di media sosial dua gambar beberapa pemimpin UMNO bertemu dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di kediamannya. 

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang turut dirakam dalam gambar itu tampil menjelaskan itu gambar lama dan pertemuan itu hanya sekadar merayu agar Tun Mahathir tidak membubarkan UMNO, selepas Mahathir menyarankan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membubarkan UMNO. 

Gambar yang dirakam pada Oktober lalu menunjukkan Mohammad bersama Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Seri hamzah Zainuddin, Datuk Seri Shahidan Kassim serta seorang lagi pemimpin UMNO.


Bagaimanapun ketika ditanya oleh media hari ini berhubung gambar tersebut, Tun Mahathir menjelaskan pemimpin yang datang itu menyatakan hasrat untuk meninggalkan UMNO. 

"Mereka datang jumpa saya dan beritahu yang mereka akan meninggalkan UMNO. Mereka mahukan nasihat saya. Cuma itu, tak ada yang lain,” katanya.

Walaupun begitu, Pengerusi BERSATU itu menegaskan partinya hanya akan menerima bekas wakil rakyat UMNO yang baik sahaja.

"Ada orang UMNO yang baik, yang jahat pun ada. Yang jahat kita tak terima, yang baik kita terima.

"Saya sendiri bekas ahli UMNO, dia orang terima saya. Lim Kit Siang terima saya," katanya.

Mengulas mengenai beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang tidak bersetuju dengan penerimaan bekas wakil rakyat UMNO ke dalam PH, Mahathir berkata, ia adalah pendapat masing-masing.

"Dalam kalangan BERSATU sendiri ada yang tidak bersetuju," katanya.