Penjawat awam yang tiada komitmen terhadap kerajaan baru, harus letak jawatan - KSN


Ketua Setiausaha Negara Dr Ismail Bakar mengingatkan 1.6 juta penjawat awam seluruh negara negara supaya meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan dalam melaksanakan tugas masing-masing.

Beliau berkata penjawat awam juga harus sentiasa berusaha memperbaiki perkhidmatan mereka untuk memenuhi permintaan rakyat.

"Sebagai penjawat awam, anda mesti berkhidmat kepada rakyat dan bukan melayan kehendak ahli politik. Gaji anda dibayar oleh rakyat, oleh pembayar cukai. Oleh itu, anda mesti berkhidmat kepada mereka, "katanya kepada Bernama sebelum hadir sebagai tetamu program 'Suara Harapan' di Bernama Radio hari ini.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sering menyebut tentang beberapa pegawai kerajaan yang enggan bekerjasama dengan kerajaan baharu Pakatan Harapan dan sering mensabotaj dasar kerajaan.

Ismail berkata mereka yang tidak dapat berkhidmat secara profesional dan tidak menunjukkan komitmen terhadap kerja mereka kepada kerajaan baru harus meletakkan jawatan.

Ismail, yang dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara pada 29 Ogos lalu, berkata proses "pembersihan" dalam sektor awam daripada gejala rasuah dan amalan tidak berintegriti akan terus dijalankan termasuk tindakan membuang kerja mereka yang disabit kesalahan.

Justeru, katanya, amalan dan budaya kerja yang mencerminkan slogan 'Bersih, Cekap dan Amanah’ akan terus disemai serta dijadikan pegangan dalam kalangan penjawat awam, selaras dengan matlamat kerajaan baharu yang memberi penekanan kepada tadbir urus baik dan integriti.

Dalam program 45 minit itu, Ismail berkata penjawat awam harus berani menyatakan pandangan dan sihat jika berdepan dengan situasi sesuatu perkara yang bakal dilaksana melanggar peraturan.

“Jangan kita terima bulat-bulat. Ini yang menyebabkan penjawat awam terperangkap di kemudian hari disebabkan arahan yang melanggar peraturan,” kata Ismail. - Bernama