UMNO tekad failkan saman tuntut ganti rugi dari wakil rakyat keluar parti


Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, pihaknya sudah mengambil tindakan undang-undang terhadap ahlinya yang 'lompat' parti dan menjadi wakil rakyat bebas, pasca PRU14 lalu. 

Beliau berkata, pihaknya sudah memfailkan writ saman pada 14 November lalu, yang menuntut ganti rugi daripada bekas ahli UMNO terbabit. 

"Ibu pejabat UMNO telah mendaftarkan writ saman menuntut ganti rugi pada 14 November lalu menuntut satu jumlah agak besar daripada mereka (yang lompat parti dan menjadi wakil rakyat Bebas).

"Mereka harus tahu kemenangan mereka bukan atas nama individu, atas panji UMNO yang memenangkan mereka, atas kerja jentera dan mereka harus berterima kasih kepada UMNO, bukan dengan melompat parti," katanya pada program Wacana U3.0 anjuran Penerangan UMNO di Menara Dato Onn di Kuala Lumpur, semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, UMNO akan menggunakan segala aspek perundangan yang ada bagi menuntut ganti rugi.

"Kita akan saman semua, kita akan menggunakan apa saja aspek perundangan untuk pastikan hutang budi dibayar semula kepada UMNO," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata masalah yang menimpa UMNO kini mungkin disebabkan sikap keterbukaan yang diamalkannya.

"Mungkin ini semua berlaku disebabkan sikap keterbukaan saya dan ini mungkin kelemahan. Ini juga harga yang mahal perlu UMNO bayar," katanya. - Harian Metro