(Video) Pelanggan tak puas hati dikenakan caj RM610, pemilik bengkel serang mangsa menggunakan parang dan pemadam api


Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali menegaskan pergaduhan di sebuah bengkel di Taman Putra Perdana, Puchong semalam bukan disebabkan isu perkauman sebaliknya caj baiki kereta yang dikenakan tidak munasabah.

Pemilik Perodua Alza ke bengkel tersebut jam 3 petang semalam untuk melihat keretanya yang ditunda ke sana sejak Rabu lalu dan melihat ada individu bertindak mengeluarkan bateri keretanya dan meminta pemilik bengkel tersebut ke lokasi.

Pemilik bengkel meminta mangsa menjelaskan kos upah RM410 dan tambahan RM200 kerana perlu bekerja pada hari Ahad jika mahu mengambil keretanya.


Pemilik kereta bagaimanapun tidak berpuas hati lalu berlaku pertengkaran antara kedua-dua pihak dan keadaan menjadi lebih teruk apabila pemilik bengkel itu bertindak menyerang mangsa menggunakan parang dan pemadam api. 

Kejadian turut menarik perhatian orang awam yang masuk campur selepas tidak berpuas hati suspek mengeluarkan kata berunsur perkauman.

Suspek bertindak menguncikan diri dalam bengkel dan menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan. 


"Salah seorang mangsa cedera akibat dilibas parang manakala, seorang lagi mangsa pengsan akibat terkena semburan alat pemadam api. Kedua-dua mangsa menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Putrajaya dan sudah dibenarkan pulang malam tadi," kata Abdul Aziz.

Insiden tersebut tular di Facebook sejak awal pagi ini menyaksikan tindakan seorang lelaki menggunakan parang bertindak memecahkan sebuah kenderaan di hadapan bengkel itu. Manakala seorang lagi lelaki dilihat menyembur alat pemadam api ke arah orang ramai.

Susulan kejadian itu, polis menahan dua pekerja bengkel berusia 35 dan 43 tahun untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 148 kerana merusuh. Kedua-dua mereka turut ditahan reman sehingga 20 Disember ini untuk membantu siasatan.