(Video) Penumpang tumbuk pemandu kerana tak dibenarkan naik bas di persimpangan lampu isyarat


Seorang lelaki berusia 46 tahun ditahan kerana didakwa menumbuk dan meludah pemandu bas Rapid Penang, lapor Harian Metro

Dalam kejadian jam 7.30 malam kelmarin di Bandar Sri Penang, suspek bertindak agresif kerana tidak berpuas hati mangsa tidak membenarkannya menaiki bas tersebut. 

Ketua Polis Daerah Timur Laut. Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, suspek tidak dibenarkan menaiki bas kerana dia tidak menunggu di hentian atau tempat yang dibenarkan. 

"Mangsa ketika itu memandu bas Rapid dari Bandar Seri Pinang menuju ke KOMTAR, melalui Jalan Lebuh Macallum. Dia berhenti di simpang empat kerana lampu merah sebelum didatangi suspek yang mengetuk pintu depan kenderaan berkenaan. 

"Mangsa tidak membuka pintu kerana ia bukan di hentian bas. Suspek kemudian pergi ke tepi pengadu dan berlaku pertengkaran sebelum kembali ke pintu masuk dan membukanya daripada luar. 

"Suspek masuk ke dalam bas terus meludah dan menumbuk mangsa," katanya. 



Selepas kejadian itu, mangsa mengunci pintu bas dari bahagian dalam dan meneruskan perjalanan ke stesen bas di Pengkalan Weld. 

Dengan bantuan polis bantuan bas Rapid, suspek yang berada di dalam bas dibawa ke Balai Polis Lebuh Pantai, manakala mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu. 

"Bas berkenaan turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan 323 kanun sama," katanya.