3 lelaki ditahan, tanam janin teman wanita di sawah


Kehadiran tiga individu yang tidak dikenali di kawasan sawah padi di Bukit Rampai, Melaka, menimbulkan rasa curiga seorang warga emas sebelum menemui bungkusan kain berwarna putih yang mengandungi janin. 

Saksi, Ajmihat Kudus, 70, berkata, dia ketika itu mahu memotong rumput di kawasan sawah miliknya itu sebelum terserempak dengan tiga lelaki muda terbabit pada jam 8 pagi Ahad, yang sedang menggali lubang. 

Ajmihat kemudian bertanya kepada mereka dan salah seorangnya menjawab mereka hanya mahu mencari tanah hitam.

"Saya curiga dengan tindakan mereka itu, namun saya berpura-pura memotong rumput. Sebaik selesai urusan, mereka lalu di hadapan saya dan saya terus mengambil nombor pendaftaran motosikal salah seorang daripada mereka," katanya.

Ajmihat kemudian menggali semula tanah itu dan menemui bungkusan kain putih pada kedalaman satu meter lalu menghubungi polis dan memaklumkan penemuan itu. 

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, bertindak di atas maklumat saksi, pihaknya telah mengecam nombor pendaftaran motosikal suspek dan telah menahan tiga suspek yang terlibat pada hari yang sama. 

Siasatan awal mendapati, janin berkenaan dipercayai milik salah seorang daripada tiga suspek. Teman wanita suspek turut disiasat dan mengakui menyerahkan janin berkenaan kepada teman lelakinya berusia 19 tahun untuk ditanam. 

Kesemua suspek berusia 19, 23 dan 24 tahun itu direman mulai hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda jika sabit kesalahan. 

Polis turut merampas motosikal yang digunakan oleh suspek pada hari kejadian.