'Alhamdulillah, ini rezeki buat saya dan suami' - Izreen Azminda hamil anak kedua


"Alhamdulillah, ini rezeki buat saya dan suami. Selepas lebih setahun berkahwin, Allah SWT berikan nikmat ini pula. Insya-Allah, saya dijangka bersalin Julai ini," demikian kata pelakon Izreen Azminda yang berkongsi mengenai berita gembiranya itu. 

Lapor Harian Metro, usia kandungannya itu kini mencecah tiga bulan dan Izreen mengalami alahan yang teruk berbanding kehamilan pertamanya. Keadaan itu menyebabkan dia tidak mampu melakukan kerja-kerja berat yang akan menyebabkan berlaku pendarahan. 

Disebabkan keadaannya seperti itu, Izreen terpaksa menolak tawaran beberapa drama kerana tidak mahu menyusahkan pihak produksi, sekali gus menafikan laporan media kononnya dia tidak mendapat tawaran berlakon sejak mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Radzi Abdul Wahid atau lebih dikenali sebagai Ude, yang bekerja sebagai pemuzik bebas.



A post shared by MADAM IZREEN AZMINDA (@izreen.azminda) on

Menurut Izreen, dia banyak menerima tawaran berlakon drama sejak Oktober lalu, namun terpaksa ditolak secara baik selepas dia mengetahui dirinya berbadan dua. 

"Dengan keadaan dan kesihatan yang tidak menentu ketika itu, sukar untuk saya memberikan sepenuh komitmen. Saya tak nak menyusahkan kru dan pelakon lain," katanya yang sehingga kini masih menutup ruang komen di Instagram.