'Ini masakan terakhir mak sebelum dia pergi...'


Orang selalu berkata, hargailah ibu bapa sementara mereka masih ada. Luangkan masa bersama mereka, jangan ditinggal dan dibiarkan sepi sedangkan semasa kecil, merekalah yang selalu mendampingi kita. 

Sebak membaca luahan lelaki ini yang merindui arwah ibunya telah meninggalkan mereka setahun yang lalu. Andai anda masih punya ibu bapa, bahagiakanlah mereka sekerap mana yang anda mampu. 

PAGI terakhir sebelum mak pergi menemui penciptanya, mak dah masak nasi lemak dengan sambal telur. 

Dalam jam 11 pagi, dapat panggilan yang mak dah tak ada. Jadi, aku pun baliklah ke Batu Pahat, dari Kuala Lumpur. 

Sampai di Batu Pahat lebih kurang jam 1 petang begitu. Masa itu jenazah mak di Hospital Batu Pahat untuk dimandi dan dikafankan. 

Jam 3 petang, jenazah mak dibawa ke rumah untuk dilihat buat kali terakhir. Masa buka ikatan kain kafan itu, selepas aku nampak yang dalam bungkusan itu adalah mak aku, aku tak dapat nak tahan air mata yang tersangatlah sedih. 

Selepas itu jenazah mak disembahyangkan di surau dan dikebumikan. Selesai semua sebelum maghrib. 

Di rumah mak, terasa lapar pula. Buka tudung saji, ada nasi lemak dengan sambal telur. Aku tahu ini adalah masakan terakhir mak. Aku cedok dan bahagi seorang sikit adik beradik. 

Suapan pertama itu, Ya Allah, aku rasa lain sangat masakan itu. Aku makan sambil menangis. Tapi aku habiskan juga nasi lemak itu sebab itu adalah masakan terakhir mak dan aku tak akan dapat rasa lagi. 

Setahun sudah berlalu, kenangan bersama mak hidup dalam ingatan. 

Mak, jujur aku rindu.
Mak, halalkan makan minum aku.
Mak, ampunkan dosa aku pada mak. 
Mak, terima kasih besarkan aku.
Mak, terima kasih kerana melahirkan aku.

Sumber: Shota Shimizu
Loading...